Kenapa pemimpin DAP diam dalam isu lelong pulau?

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutama DAP sememangnya bijak mengalih sesuatu isu untuk menutup salah laku mereka. Mereka seolah-olah mahu rakyat melihat mereka ‘suci’ dan tiada sebarang kesalahan yang dilakukan.

Pakatan Harapan kini dilihat sibuk memainkan isu penjualan tanah Felda di Jalan Semarak dalam usaha untuk memburuk-burukan kerajaan Barisan Nasional. DAP ‘bising’ mengenai isu Felda, namun hanya diam dan membisu apabila isu ‘lelong’ pulau.

Isu yang wajar yang diberikan perhatian adalah isu tiga buah pulau buatan yang bakal dibina di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang. Mungkin ramai tidak sedar dan tidak tahu bahawa tiga buah pulau buatan yang bakal dibina di kawasan itu akan “dilelong” bagi membiayai usaha Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebanyak RM27 bilion oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dibawah pimpinan DAP.

Projek berkenaan – Penang South Reclamation (PSR) – merupakan usaha Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menambak tiga buah pulau berukuran 930 hektar, 445 hektar dan 323 hektar di perairan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Namun seperti kebiasaan sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk ‘menghalalkan’ tindakannya untuk “melelong” pulau-pulau ini nanti, parti Roket itu mendakwa projek tersebut boleh mengatasi masalah trafik yang semakin teruk di negeri Pulau Mutiara itu.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai Joshua Woo Sze Zeng sebelum ini pernah mendakwa bahawa dengan penjualan tanah di pulau-pulau buatan ini, negeri itu akan lebih bebas dari kekangan kerajaan persekutuan dan kononnya boleh memajukan negeri tanpa halangan sekiranya usaha kerajaan DAP berkenaaan berjaya.

“Umno-BN tak mahu negeri dikuasai pembangkang berjaya. Jika projek ini berjaya dilaksanakan, Umno-BN akan lebih susah untuk mengambil alih Pulau Pinang. Tambahan lagi, banyak lagi negeri lain akan terinspirasi untuk menjatuhkan mereka (BN)..” kata beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda DAP negeri.

Meskipun pemimpin parti Roket itu sendiri mengaku bahawa projek tambakan laut berkenaan akan menjadi punca kemusnahan terhadap alam sekitar serta ekosistem hidupan laut, namun ianya tidak dipedulikan dan diabaikan kerana mereka lebih mementingkan keuntungan.

Malah, hasil dari kerakusan parti Roket itu akan menjadi punca rakyat negeri Pulau Mutiara itu akan berdepan dengan kehilangan harta warisan yang bakal diperturunkan kepada generasi akan datang.

Risiko kemusnahan berikutan projek tambak laut berkenaan juga dilaporkan dalam laporan awal penilaian kesan alam sekitar (EIA) seperti didedahkan perunding Tetuan Dr. Nik & Associate yang menjalankan kajian tersebut pada sesi dialog bersama nelayan minggu lalu.

Ini dapat dilihat apabila antara rumusan daripada dapatan awal kajian awal tersebut ialah sesetengah terumbu karang di Pulau Rimau, lokasi pendaratan penyu dan kawasan menangkap ikan di luar pantai selatan negeri ini akan musnah dan hilang sekiranya projek tebus guna tanah dicadangkan mendapat kelulusan.

Inilah yang terjadi apabila negeri dikuasai oleh kapitalis rakus seperti parti Roket itu dan juga rakan-rakannya didalam Pakatan Harapan. Ini baru sebuah negeri, cuba bayangkan juga bagaimana nasib Malaysia jika diserahkan kepada mereka ini yang jelas tidak layak untuk mentadbir negara. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *