Kerajaan dicadang kenakan cukai tinggi kepada pembeli rumah kedua

Setiap orang mengimpikan untuk memiliki rumah atau tempat tinggal sendiri. Namun begitu, kenaikan harga rumah yang mendadak pada masa kini menjadi penghalang kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk memiliki tempat tinggal.

Malah, ada antara rakyat Malaysia terpaksa pasrah dengan status penyewa seumur hidup kerana tidak mampu menanggung kos pembelian rumah yang meningkat saban tahun.

Menyedari masalah itu, Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari mencadangkan supaya kerajaan mengenakan cukai tinggi kepada pembeli rumah kedua.

Beliau berkata, perkara itu penting untuk dilakukan supaya dapat mengelakan harga rumah di pasaran terus meningkat pada ketika masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai rumah pertama.

“Satu kaedah cukai yang tinggi harus dilaksanakan kepada mereka yang ingin memiliki lebih daripada sebuah rumah.

“Jika ia tidak ditangani sebaiknya oleh pihak bertanggungjawab tidak mustahil harga rumah akan sentiasa meningkat secara mendadak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kenaikan harga rumah juga berpunca dari pemaju perumahan yang menggunakan kaedah pengeluaran menyebabkan wujudnya monopoli.

Oleh itu, beliau merasakan kaedah pasaran mengikut permintaan dan penawaran perlu diguna pakai supaya harga rumah lebih kompetitif.

Yusof berkata ramai rakyat sukar untuk membeli rumah pertama disebabkan penurunan kuasa beli individu yang majoriti pendapatan isi rumah semakin meningkat.

“Penurunan kuasa beli ini menyebabkan sukar bagi seseorang itu membeli rumah. Kesan sampingannya maka berlakulah lambakan kediaman baharu yang tidak terjual,” ujarnya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *