Kerja petik buah di luar negara bukanlah seindah yang disangka

Disebabkan mengejarkan pendapatan yang lumayan apabila dijanjikan dengan tawaran gaji yang banyak, ramai rakyat Malaysia yang sanggup membanting tulang bekerja sebagai buruh ladang buah-buahan dan sayuran di Australia.

Pendapatan lumayan yang telah dijanjikan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Pendapatan itu dianggap sangat besar kerana kerja yang perlu dilakukan hanya memetik buah.

Namun, ramai yang tidak mengetahui realiti menjadi pemetik buah di luar negara ini bukanlah seindah yang didengari. Menurut laporan sebuah akhbar tempatan dalam negara, seorang wanita yang bernama Kayla berkongsi detik hitamnya sebagai pemetik buah di Australia dan menjadi mangsa tipu ejen pekerjaan.

Sebelum ini, kayla bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5,000. Namun, dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin menjaga ibunya yang sakit.

“Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya,” katanya.

Selepas itu ibu Kayla kembali sihat, Kayla mengambil keputusan untuk mencari kerja di Australia kerana mendapat tahu tentang pendapatan yang lumayan bekerja sebagai pemetik buah.

Dengan restu dari ibu, Kayla sanggup mengeluarkan wang simpanan dan menjual motor untuk merealisasikan impiannya itu. Namun, wang masih tidak mencukupi menyebabkan Kayla meminjam daripada adik-beradik yang lain untuk dijadikan modal tambahan.

“Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja,” katanya.

Apabila sampai sahaja di sebuah ladang di Victoria, Kayla telah memulakan pekerjaan sebagai pemetik buah. Tetapi, dia mula rasa telah ditipu ejen apabila mengetahui pekerja pemetik buah lama tidak dibayar gaji

“Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja,” katanya.

Selepas ditipu ejen ladang, Kayla telah diuruskan ejen lain yang mengarahkan dia untuk ke pekan kecil, Robinvale, Victoria. Tetapi, sekali lagi dia telah ditipu ejen terbabit. Lebih menyedihkan ejen yang menipunya itu adalah orang dari negara tercinta sendiri.

Namun, Kayla gagahkan diri dan menghadapi cabaran di negara orang itu dan telah sebulan membanding tulang menjadi pemetik buah. Tiba hari bayaran gaji pelbagai alasan yang digunakan untuk memotong gajinya.

“Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245).

“Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji.

“Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana,” rintihnya.

Walaubagaimanapun, Kayla agak kecewa apabila ramai mangsa yang ditipu tidak mendedahkan kisah mereka menyebabkan ramai orang lain tidak mengetahui kisah sebenar yang tiba di Australia menjadi mangsa tipu baru.

Wang bekalan sebanyak RM9,000 telah habis digunakan untuk menampung kehidupan di sana termasuk tiket untuk pulang ke Malaysia. Kesimpulannya, buatlah keputusan dan sedikit penyelidikan jika mahu bekerja di luar negara. Terdapat ramai orang yang menjanjikan pendapatan yang lumayan sedang itu semua hanyalah janji manis untuk mengaut untung ‘atas angin’. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *