Lebih banyak kilang haram akan muncul jika DAP kekal tadbir P.Pinang

Sejak DAP mengambil alih pentabiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2008, apakah pengorbanan yang telah dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap kebajikan dan sumbangan terhadap rakyat di negeri Pulau Mutiara itu?

Mungkin rakyat Pulau Pinang pun tidak mampu menjawabnya jika mereka disoalkan mengenai perkara tersebut. Ini kerana tiada apa yang boleh dibanggakan. Apa yang rakyat negeri itu boleh jawab mungkin dengan menceritakan mengenai sikap kerajaan DAP negeri yang rakus menindas hak-hak rakyat di negeri itu.

Lagi satu, sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering menyalahkan pihak lain khususnya kerajaan Barisan Nasional (BN) atas kesalahan mereka sendiri lakukan. Itulah cara mudah mereka untuk menutup salah laku mereka yang terdedah dan didedahkan.

Apa sahaja kekurangan dalam negeri, Kerajaan DAP Pulau Pinang pasti akan menunding jari kepada kerajaan BN. Ini dapat dilihat dalam isu kilang haram. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuduh masalah kilang haram di negeri itu tidak boleh diselesaikan kerana diwarisi daripada pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

Itulah cara kerajaan DAP negeri mengambil langkah mudah dalam menyelamatkan diri setiap kali terlibat dengan kontroversi. Soal kononnya kerana bertimbang rasa dan mahu mencari penyelesaian terbaik dalam isu kilang haram juga adalah alasan yang sekadar mahu melepaskan diri.

Walaupun pelbagai aduan dan laporan membabitkan risiko keselamatan dan kesihatan penduduk, Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap mahu menggunakan pendekatan bertimbang rasa dengan pemilik kilang haram ini.

Ini jelas menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang lebih mengutamakan pemilik kilang haram berbanding penduduk di negeri itu.

Sebelum ini ada pihak mendedahkan bahawa terdapat lebih 200 kilang haram beroperasi di Pulau Pinang dengan 150 buah beroperasi di Seberang Perai dan 53 lagi di bahagian pulau.

Sebanyak 51 buah dikatakan beroperasi di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (90) dan Seberang Perai Selatan (9) manakala di bahagian pulau mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Batu Maung (11), Air Itam (3), Sungai Pinang (32), Batu Lanchang (2) dan masing-masing 1 di Bayan Lepas, Padang Kota, Kebun Bunga, Datuk Keramat dan Air Putih.

Selama sembilan tahun DAP tidak berjaya menghentikan kemunculan kilang-kilang haram di Pulau Pinang, apakah jika diberikan peluang lagi mereka mampu menggalas tanggungjawab rakyat yang mahukan negeri itu bebas daripada kilang-kilang haram yang mencemarkan alam sekitar dan membahayakan kehidupan masyarakat. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *