Luah masalah rumahtangga di media sosial tingkatkan risiko penceraian

Trend meluahkan masalah rumahtangga di laman sosial Facebook sebenarnya memberikan lebih banyak kesan negatif dari positif. Apabila laman sosial dijadikan ‘pakar’ untuk menyelesaikan masalah, perkara ini tanpa sedar memberikan peluang untuk pihak ketiga mengambil kesempatan.

Malah, tanpa pasangan suami isteri sedar meluahkan masalah di laman sosial boleh menyebabkan masalah yang berlaku menjadi semakin besar sehingga boleh berlakunya penceraian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari menasihati pasangan yang mempunyai masalah rumahtangga tidak menggunakan laman sosial sebagai tempat meluahkan masalah sebaliknya mencari orang bersesuaian untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, meluahkan masalah rumahtangga di laman sosial sebenarnya mengundang lebih banyak masalah.

“Kita banyak medium, jadi cari lah orang yang sesuai ataupun orang yang berautoriti untuk kita membicarakan masalah peribadi kita. Kalau kita ada masalah keluarga, jangan kita gunakan laman sosial yang kita tahu akan mencercakan kita.

“Kita mesti periksa setiap masa, siapa yang berautoriti untuk memberi pandangan dan nasihat bagi masalah kita,” katanya.

Selain itu, Jailani berkata orang ramai perlu lebih berhati-hati dan mengawal emosi setiap kali memuatnaik status di laman sosial agar tidak berkongsi masalah rumahtangga di laman sosial.

Sebelum ini, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd memaklumkan penggunaan media sosial dengan cara negatif boleh menyebabkan berlakunya perceraian.

Apapun, laman sosial bukanlah satu langkah yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat meluahkan perasaan dan meminta nasihat. Sebaiknya jika mempunyai masalah rumahtangga berjumpa dengan pakar atau meminta nasihat dengan orang terdekat.

Kebanyakkan pasangan yang meluahkan masalah rumahtangga di laman sosial menerima banyak komen negatif dari positif seperti menyuruh pasangan terbabit untuk bercerai. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *