Mahathir jadi hero DAP bila kafirkan PAS

Lebih baik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad diam daripada menambahkan dosa dirinya sendiri, kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan biadap daripada bekas perdana menteri itu yang menuduh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri’.

“Semua orang hendak dikafirkan oleh Dr Mahathir. Semalam mufti dikafirkan, hari ini Presiden PAS.

“Lebih baiklah beliau diam. Jika tidak tahu, jangan mengata orang. Kalau banyak cakap, lagi banyak dosa, di saat-saat akhir ini kita patut mencari pahala, bukan dosa. Nak mengkafirkan orang itu hendak cari dosalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyelar dakwaan Mahathir berhubung tindakan parti Islam itu untuk bertanding di 130 kerusi parlimen di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, bertujuan untuk memberi laluan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang.

“Kita bertanding di 130 kerusi kebanyakan lawan kita Umno.

“Tuduhan mengatakan kita bekerjasama politik dengan Umno tidak ada. Sudah berulang kali kita katakan, semenjak tahun 2015. Sehingga kini tidak ada kita hendak bekerjasama dengan Umno dalam politik, melainkan taawun dalam isu Islam,” katanya.

Semalam, Mahathir dalam satu kenyataan dengan biadap menggelarkan Abdul Hadi sebagai ‘pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri’ selepas parti Islam itu mengumumkan akan bertanding di lebih 130 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathir juga menyindir parti Islam itu yang dilihatnya kini semakin mesra dengan UMNO-BN yang dahulunya pernah menggelarkan parti pemerintah itu sebagai kafir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri keempat itu tersasar dari landasan yang sebenarnya dan tidak faham ucapan Abdul Hadi yang sebenarnya.

Beliau berkata Mahathir masih terperangkap dengan zamannya dan tidak boleh terima kenyataan.

“Ia satu tuduhan yang terpesong yang disebut kepada Hadi. Saya tak pasti sama ada beliau benar-benar faham ucapan Hadi yang asal, atau beliau buat-buat tak faham sebagaimana kebiasaannya iaitu buat tak faham.

“Pada saya Dr Mahathir terperangkap dengan zamannya dan tidak boleh menerima kebenaran,” ujar Samsuri lagi.

Perbalahan antara Pengerusi PPBM itu dan Presiden PAS itu semakin tegang selepas Mahathir mencetuskan kontroversi apabila membangkitkan isu Amanat Abdul Hadi pada Sabtu lalu dan menyalahkan tindakan mufti yang berdiam diri dan tidak menegur PAS bersabit amanat berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi membalas kritikan itu dengan menjawab sikap berdiam diri golongan agama itu disebabkan campur tangan politik semasa zaman pemerintahan Mahathir. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *