Mampukah BN pertahankan Perak dari ancaman Pakatan Harapan?

Timbalan Pengerusi DAP Perak yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar mendakwa Barisan Nasional (BN) gagal membangunkan negeri Perak dan ini akan menjadi punca parti pemerintah itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata parti itu gagal menyediakan dasar yang boleh dibanggakan kepada rakyat negeri tersebut sejak parti itu merampas pentadbiran negeri daripada pihak pembangkang.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak yakin rakyat negeri tersebut akan memilih pakatan pembangkang pada PRU-14 nanti.

“Masa sudah tiba, sekali lagi rakyat Negeri Perak akan diberi peluang untuk keluar mengundi dalam PRU14.

“Saya cukup yakin rakyat negeri Perak akan membuat keputusan yang bijaksana untuk memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) demi masa hadapan dan pembangunan negeri yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata beliau yakin Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) semakin kukuh dan mampu untuk menewaskan BN di negeri berkenaan.

“Saya percaya Pakatan Harapan bukan sekadar menang, malah akan menang besar dengan jumlah kerusi yang banyak dan undi populariti yang jauh lebih tinggi berbanding dengan PRU-12 dan PRU-13,” katanya.

BN pernah tewas di Perak pada PRU-12 lalu dengan memenangi hanya 28 kerusi DUN berbanding Pakatan Rakyat 31 kerusi. –Utaranews.com

One thought on “Mampukah BN pertahankan Perak dari ancaman Pakatan Harapan?

  • 13/01/2018 at 1:43 am
    Permalink

    DAP hanya boleh bercakap anguh sedangkan kerajaan DAP di Pulau Pinang gagal menyelesaikan banyak perkara termasuk rumah mampu milik untuk rakyat

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *