Mangsa Skim Pelaburan Kucing rugi RM 1.562 juta

Pelbagai skim penipuan pelaburan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu mangsa. Dengan menjanjikan untung yang berlipat kali ganda ramai mangsa mudah tertipu.

Terkini, terdapat skim penipuan pelaburan melibatkan kucing. Modus operandi yang dilakukan skim pelaburan kucing ini dengan menawarkan kucing baka import seperti Pedigree, Siberian, Scottish Fold Grey, British Short Hair dengan harga antara RM10,000 hingga RM30,000. Kemudian mangsa akan dijanjikan pulangan modal yang lumayan apabila kucing itu melahirkan anak.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S Sasikala Devi memaklumkan pihaknya telah menahan pemilik serta pengurus sebuah syarikat di sebuah premis haiwan di Shah Alam.

Kedua-dua lelaki itu berumur 50-an dan 30-an ditahan selepas polis menerima 35 laporan daripada mangsa skim penipuan kucing. Hasil siasatan mangsa-mangsanya telah mengalami kerugian mencecah RM1.562 juta.

“Hari ini pasukan polis dari JSJK Bukit Aman dan IPK Johor membuat serbuan serentak di tiga premis di Johor Bahru, Shah Alam dan Kuala Lumpur, namun premis di Kuala Lumpur telah ditutup.

“Modus operandi pelaburan ini ialah mangsa ditawarkan dengan kucing-kucing baka import seperti Pedigree, Siberian, Scottish Fold Grey, British Short Hair dan lain-lain dengan harga antara RM10, 000 hingga RM30,000 dan dijanjikan pulangan antara RM40,000 ke RM50,000 setahun.

“Kemudian mereka dijanjikan pulangan lumayan selepas kucing-kucing berkenaan melahirkan anak yang akan dijual pada harga RM7,000 ke atas. Namun mereka berasa tertipu kerana selepas setahun mereka tidak menerima apa-apa pulangan daripada skim pelaburan ini,” katanya.

Menurutnya, hasil penggeledahan terhadap premis tiga tingkat itu menempatkan sebanyak 220 ekor kucing di tingkat dua dan 270 ekor kucing di tingkat tiga. Di tingkat bawah pula dipenuhi dengan alat dan keperluan kucing.

“Pihak polis akan menahan seorang pemilik syarikat dan seorang pengurus yang didakwa menguar-uarkan skim pelaburan berkenaan. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *