Masyarakat harus berhenti perlekehkan tugas Polis

Seperti sudah menjadi perkara biasa melihat orang awam yang memperlekehkan tugas anggota Polis di media sosial. Antara perkara yang sering dilontarkan kepada Polis seperti bodoh, makan rasuah dan banyak lagi.

Memang tidak dinafikan terdapat segelintir anggota polis yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah, rasuah dan masalah disiplin lain. Tetapi, orang ramai tidak boleh terus menuding jari kepada semua anggota polis.

Selain itu, polis juga sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat sejak 210 tahun penubuhan.

Oleh itu, masyarakat harus berhenti memperlekehkan anggota polis dan menghargai segala usaha baik yang dilakukan oleh anggota polis dalam menjaga keselamatan serta memastikan negara berada dalam keadaan selamat.

“Sebaliknya, kita harus melihat dari setiap sudut penugasan dan tanggungjawab mereka yang berkorban tidak kira masa dan tenaga demi memastikan seluruh masyarakat dapat hidup dalam suasana selamat dan sejahtera,” kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap orang awam yang menghina polis, sama ada secara berdepan atau di media sosial.

Tindakan itu diambil sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mengkritik anggota Polis yang bertugas tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Orang awam jangan sewenang-wenangnya memperlekeh anggota Polis jika tidak berpuas hati akibat di saman. Sebaliknya masyarakat perlu berfikiran positif bahawa tindakan saman yang dikenakan itu adalah hak untuk mendidik mereka mematuhi setiap peraturan atau undang-undang sedia ada.

Jika ada anggota polis yang melakukan kesalahan seperti rasuah atau salah laku atau sebagainya, orang awam boleh membuat laporan menggunakan saluran yang betul, bukannya memuat naik status di laman sosial dengan bahasa yang tidak sepatutnya.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *