Musim sejuk melampau, kepala budak lelaki hampir beku sepenuhnya

YUNNAN, China – Kepala seorang budak lelaki hampir beku sepenuhnya selepas dia berjalan kaki ke sekolah pada waktu pagi ketika musim sejuk melampau di China baru-baru ini.

Murid darjah tiga itu dilaporkan berjalan kaki hampir sejam setiap hari ke Sekolah Rendah Zhuanshanbao di bandar Xinjie kira-kira 4.5 kilometer dari rumah datuknya di sini.

Budak lelaki yang dirahsiakan identitinya itu meredah cuaca sejuk 9 darjah Celsius di bawah tahap beku untuk menduduki ujian peperiksaan di sekolah berkenaan.

Guru besar sekolah itu, Fu berkata, rakan sekelasnya mentertawakan kanak-kanak itu disebabkan keadaannya yang mencuit hati apabila hampir keseluruhan rambut dan keningnya diselaputi ais.

Fu menjelaskan, muridnya yang bijak dalam subjek Matematik itu tinggal bersama adik-beradik lain di rumah datuknya manakala kedua ibu bapanya berhijrah untuk mencari pekerjaan di sebuah bandar di sini.

Pengguna internet memuji kesungguhan kanak-kanak itu ke sekolah biarpun berasal daripada sebuah keluarga miskin selepas melihat gambarnya disiarkan dalam akhbar People’s Daily. – Agensi

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *