Orang ramai digesa buat semakan untuk Wang tidak dituntut

Isu Wang Tidak Dituntut (WTD) memang hangat diperkatakan oleh netizen sejak tahun lepas. Disebabkan isu ini juga ramai orang sanggup beratur panjang untuk membuat semakan jika ada amaun yang masih belum dituntut oleh mereka.

Terkini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz memaklumkan sejumlah RM5.8 bilion WTD telah direkodkan sehingga Disember tahun lepas.

Katanya, orang ramai diharap dapat melakukan semakan di mana-mana pejabat Jabatan Akauntan Negara di seluruh negeri jika terdapat WTD.

Selain itu, orang ramai juga diberi kemudahan untuk memudahkan semakan WTD menerusi Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) pada Karnival Jerlun For Jerlun pada 9 dan 10 Februari depan.

Cara untuk membuat semakan WTD ini cukup mudah dan tidak mengambil waktu yang lama. Hanya perlu menyerahkan MyKad di kaunter dan pegawai yang bertugas akan menyemak melalui sistem.

Tidak sampai lima minit keputusan itu sudah dapat diketahui dan tidak ada sebarang bayaran dan caj perkhidmatan yang dikenakan. Jika anda mempunyai WTD akan diberi beberapa borang perlu diisi dan beberapa salinan perlu diberikan kepada pegawai untuk diproses.

Wang tak dituntut ini bukan hanya terhad pada akaun bank yang tidak aktif sahaja, tetapi juga melibatkan bayaran rebat insurans, bayaran elaun atau bonus dari syarikat tempat kerja lama atau mana-mana firma mempunyai kaitan dengan kita.

Disebabkan syarikat atau firma terbabit gagal untuk menyerahkan sendiri wang itu kepada kita, oleh itu pihak terbabit menyerahkan wang itu kepada Pendaftaran WTD.

Walaubagaimanapun, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita negatif mendakwa kerajaan menggunakan WTD itu untuk ‘kecemasan’ kerana didakwa tidak banyak hebahan tentang perkara ini.

Tetapi, tuduhan itu tidak berasas dan kerajaan akan membayar semua wang kepada empunya tanpa dikurangkan satu sen pun kerana Bahagian WTD adalah sebagai pemegang amanah untuk menyerahkan wang itu kepada empunya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *