PAN tak mampu bertahan lama didalam Pakatan

Ketika bersama pakatan pembangkang yang sebelum ini Pakatan Rakyat, PAS bersikap tegas dalam rundingan pembahagian kerusi dan menuntut kerusi yang dikehendaki, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rundingan kerusi di antara parti komponen dalam Pakatan Harapan yang menimbulkan rasa tidak puas hati parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN).

Naib Presiden PAS itu berkata parti Islam itu tidak pernah tunduk kepada bekas rakan sekutu dalam pakatan pembangkang itu sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, ini kerana parti Islam itu tahu kekuatan dimilikinya semasa bersama pakatan pembangkang itu dahulu.

“Waktu rundingan pembahagian kerusi sudah tentu PAS bersikap tegas kerana kita ada kekuatan jentera dan sebagainya. Sebab itu kita tuntut kerusi yang dikehendaki.

“Mungkin parti (dalam Pakatan Harapan) kini ada isu dari segi bilangan ahli. Sedangkan Bersatu (PPBM) itu lagi baru berbanding PAN,” katanya.

Pakatan Harapan baru-baru ini mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen dalam Pakatan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu PPBM (52), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (51) DAP (35) dan PAN (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Keputusan pengagihan kerusi itu menyaksikan parti serpihan PAS itu mendapat kerusi yang paling sedikit berbanding rakan sekutu lain dalam pakatan pembangkang itu.

PAN Johor dilaporkan tidak berpuas hati dengan pengagihan itu dan mengambil keputusan memboikot konvensyen yang berlangsung baru-baru ini di Shah Alam.

Idris menyifatkan tindakan itu menunjukkan petanda awal perpecahan akan berlaku dalam Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.

“Itu satu perkara amat mengejutkan apabila sepatutnya pada hari itu mereka bersama-sama berbincang hala tuju PH. Tapi apa yang berlaku sebaliknya pula. Jadi, itu petanda awal kepada rakyat.

“Sudah pasti perkara ini akan melemahkan gerak kerja mereka dan apa yang penting, rakyat dapat menilai PH yang akan menjadi salah satu parti bertanding pada PRU14 nanti,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *