PAS mahu rakyat tolak Perdana Menteri boneka DAP

Isu siapa menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum akan datang sering dimainkan sehingga terkadang membosankan sesetengah pihak, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Malah, kata beliau, ada mula mempertikaikan adakah Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini benar-benar mahu membawa perubahan dan menyelamatkan rakyat serta negara atau hanya semata-mata mahu merampas jawatan Perdana Menteri semata-mata?

Beliau juga mendakwa dalam kekalutan ini bekas rakan sekutu PAS, DAP yang diterajui Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kini dilihat mengambil pendirian “menikus”.

“Ini kerana hati dan jiwa berdebar-debar mahu pastikan mereka pencaturnya jika berlaku perubahan kuasa, tapi dalam waktu yang sama bimbangkan tindakbalas dari segmen pengundi tertentu khasnya pengundi Melayu Islam, membuat mereka membisu seakan tidak “significant” dalam percaturan ini sedangkan hakikatnya merekalah penggerak agenda dan cita-cita politik PH,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata parti Islam itu terus menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri dalam apa situasi sekalipun bagi Malaysia mestilah kekal “status quo” nya iaitu seorang Muslim.

Tambah Roslan, sebarang usaha menaikkan yang selain itu sudah pastilah boleh menimbulkan ketidak-stabilan dan membangkitkan kegelisahan dihati majoriti rakyat dalam negara.

“Demikianlah kehendak hukum Islam menurut Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Dari sudut politik, Islam menegaskan bahawa kepimpinan utama negara yang terlibat dalam penentuan dasar dan konsep negara dalam hal ini Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Muslim.

“Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam, dan dengan Islam termaktub sebagai agama Persekutuan selain memiliki Institusi Raja-raja Melayu sebagai “penjaga” agama, dan sistem pentadbiran agama Islam yang menyeluruh di peringkat negeri-negeri dan Persekutuan sudah pastilah layak meletakkan seorang Muslim sebagai Perdana Menteri.

“Namun demikian Presiden PAS turut menegaskan ini tidak bermakna non Muslim tidak boleh memain peranan dan menganggotai kabinet. Sistem politik Islam dalam hal ini menurut Tuan Guru sungguh anjal sehingga mengharuskan perlantikan non Muslim dalam jawatan Wazir al-Tanfiz atau menteri ataupun anggota kabinet, sebagaimana pandangan yang diberikan oleh al Mawardi,” katanya.

Namun, katanya, akan tetapi kebelakangan ini apabila muncul parti Roket itu sebagai kuasa politik dominan dalam pakatan pembangkang, menimbulkan kebimbangan rakyat, mungkinkah dengan bantuan parti-parti lain komponen PH, DAP nanti akan terbit pasca PRU14 akan menguasai kedudukan dalam kabinet dan diperingkat negeri-negeri.

“Mungkin menyedari kegelisahan rakyat ini, DAP menafikan secara terbuka cita-cita itu tetapi menguasai sesebuah kabinet atau kerajaan sesungguh nya tidak semestinya dengan memegang jawatan teraju atau dalam hal ini Perdana Menteri.

“Dengan menguasai bilangan kerusi terbanyak umpamanya, DAP boleh menabalkan seorang “boneka” sebagai Perdana Menteri. Lantiklah siapa sahaja dikalangan Muslim samada dari parti mereka mahupun rakan komponan mereka, tetapi kabinet dikuasai dan didominasi oleh DAP, tidakkah itu juga nanti sebenarnya menjadikan DAP paling berkuasa?

“Dalam hal ini Tuan Guru mengingatkan bahawa PAS tidak bersedia mengizinkan seorang Perdana Menteri “boneka” dilantik oleh kabinet bila-bila masa pun,” katanya.

Beliau juga berkata ini turut mengingatkan beliau kepada wawancara Tuanku Sultan Selangor dalam akhbar The Star sempena ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku baru-baru ini apabila Tuanku menyebut:

“Sebab saya tidak menerima Wan Azizah (Dato Seri Dr.) bukan kerana saya fikir beliau tidak layak atau beliau seorang wanita. Saya telah kata sebelum ini – Menteri Besar tidak boleh “berkawalan jauh” (remote controlled), beliau tidak boleh menjadi boneka. Anda perlu mempunyai perwatakan kukuh untuk melakukan sesuatu buat rakyat.”

Mengulas lanjut, Roslan menegaskan bahawa Kabinet Malaysia harus diterajui seorang Muslim dan itulah yang akan diperjuangkan dan dituntut oleh PAS.

Namun, katanya, Perdana Menteri itu mestilah seorang yang berupaya mempertahankan dan memperjuangkan Islam selain memberi keadilan dan memelihara hak semua kaum dan agama.

Beliau berkata negara ini akan pecah belah jika naik seorang Perdana Menteri yang tidak seperti itu.

“Malaysia akan kacau jika naik seorang Perdana Menteri yang tidak seperti itu, apa lagi Perdana Menteri boneka yang sebenarnya dikuasai oleh parti yang tidak senang dan malah memusuhi sebarang usaha memartabat dan mendaulatkan Islam walau cuma dikalangan penganutnya.

“Kerana itu menjelang Pilihanraya Umum ke 14 ini rakyat khususnya para pengundi majoriti Melayu Islam mestilah sedar dan insaf apa yang bakal berlaku di hadapan mereka kiranya membuat keputusan yang silap dan semata-mata atas sentimen dan asakkan pihak tertentu.

“Apa pun keputusan kita janganlah sampai menggadai nasib dan masa depan agama dan negara.

“Semoga Malaysia kekal aman dan sejahtera, bebas dari sebarang kekacauan dan huru-hara apabila rakyatnya membuat pilihan yang bijak dan meraikan hak golongan majoriti selain menghormati yang minoriti,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *