PAS P.Pinang mahu peluang untuk tadbir kerajaan negeri

Beri PAS peluang untuk mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan parti Islam itu akan membuktikan bila Islam yang memerintah akan berlaku adil untuk semua, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali.

Beliau berkata meskipun parti Islam itu akan berhadapan dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), tetapi demi perjuangkan prinsip, bekas rakan sekutu DAP itu sudah bersiap sedia menghadapi segala cabaran.

“Saya mohon, saya minta… untuk Pilihan Raya Umum ke-14 ini berilah PAS peluang (menang). Kita akan buktikan, kita akan tunjukkan bila Islam memerintah akan berlaku adil untuk semua.

“Kita sedar, cabarannya besar nanti, namun demi mempetahankan prinsip, Pas sedia menghadapi apa saja cabaran,” katanya.

Beliau menegaskan parti Islam itu mempunyai prinsip dan ia tidak akan sekali-sekali goyah dan menggadaikannya demi hanya untuk ke Putrajaya dan memenangi Pilihan Raya Umum.

Bukhori berkata, jika diimbas kembali semasa bersama rakan pembangkang dalam Pakatan Rakyat, parti Islam itu sentiasa kekal dengan dasar bersama iaitu setuju untuk tidak bersetuju.

“Menerusi dasar ini, Pas tidak setuju dengan DAP sebab parti itu mengamalkan Malaysian Malaysia, sebuah dasar yang sebenarnya mengancam kedudukan orang Melayu.

“Begitu juga DAP tidak setuju dengan Pas yang menjadikan Islam satu dasar. Tetapi Pas tidak pernah mengganggu, tidak pernah kacau dasar DAP, sebab kita faham kita ada dasar bersama yang lebih besar.

“Dasar itu ialah kita nak runtuhkan kezaliman. Kita nak tingkatkan keadilan. Sebab itu Pas tidak pernah mengganggu DAP,” katanya.

Namun, katanya, lama kelamaan apabila parti Roket itu dikuasai orang berfahaman liberal, secara perlahan-lahan dasarnya berubah.

Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila ia bermula dengan DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan Pas Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Susulan itu, katanya, parti Roket Sabah pula bertindak memutuskan hubungan dengan Pas Sabah dan kemuncaknya berlaku pada Majlis Pimpinan DAP Pusat yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru, beliau mahu rakyat negeri Pulau Mutiara itu memikirkan sendiri pada pilihan raya umum akan datang ini, sama ada masih mahu terus ditindas DAP yang dibawah pimpinan Lim Guan Eng atau memberi peluang kepada parti Islam itu untuk menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *