Pejabat Tokong di KOMTAR sunyi sepi selepas diserbu SPRM

Selepas beberapa serbuan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat-pejabat agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Selasa lalu, pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dilaporkan ‘ditutup’ buat sementara waktu.

Satu portal melaporkan bahawa beberapa petugas media yang cuba menggunakan lif untuk ke tingkat tersebut yang menempatkan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dihalang oleh pengawal keselamatan.

Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan mendapat arahan daripada tingkat 28 Komtar agar menghalang mana-mana individu masuk ke pejabat Ketua Menteri buat masa ini.

Seorang petugas media pejabat Ketua Menteri memberitahu beliau diarahkan bersiap sedia di tingkat tiga Komtar jika ada sebarang penahanan melibatkan Exco Kerajaan Pulau Pinang bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu projek mega pembinaan terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Rabu lalu, SPRM telah menahan reman Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Syarikat Pembangunan Hartanah berpangkat Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SPRM baru-baru ini menyerbu tujuh lokasi di negeri ini masing-masing empat pejabat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan tiga syarikat pemaju serta konsultan yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut di Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *