Pekerja asing didakwa jadi punca penyakit berbahaya didalam negara

Kebanjiran warga asing di negara ini bukanlah perkara baru, pergi sahaja ke kawasan sekitar Kuala Lumpur seperti Chow Kit dan Puduraya memang tempat itu dipenuhi dengan pendatang asing.

Pendatang asing ini juga memberi kesan dalam aspek kesihatan terutamanya kepada rakyat Malaysia. Terdapat risiko penyebaran penyakit berjangkit oleh golongan pendatang asing yang masuk negara ini.

Doktor Pakar Kesihatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah mendedahkan terdapat doktor perubatan yang cuba diberi rasuah apabila ada antara pekerja asing yang membuat pemeriksaan kesihatan tidak melepasi keputusan x-ray.

Katanya, pemeriksaan x-ray pekerja asing itu dikhuatiri mempunyai jangkitan kuman tuberkulosis. Malah, ramai pekerja asing yang mempunyai penyakit yang berada di negara ini boleh membahayakan kesihatan orang lain.

Beliau berkata, perkara ini memberi kebimbangan pada masyarakat yang dikhuatiri dijangkit penyakit berjangkit yang berbahaya.

“Tidak kurang juga ramai dalam kalangan netizen yang menaruh kebimbangan dijangkiti penyakit berjangkit yang merbahaya seperti TB, hepatitis, kepialu, HIV dan lain-lain lagi akibat kesangsian mereka terhadap sistem pemeriksaan kesihatan yang tidak telus.

“Para pekerja asing bebas bergerak di sekeliling kita terutamanya di pusat membeli belah dan restoran. Anggapan mereka lagi bahawa terdapat doktor-doktor yang sanggup menerima rasuah untuk meluluskan tahap kesihatan.

“Mempertaruhkan nyawa anak bangsa dek kerana kepentingan peribadi sehingga sanggup melakukan hal terkutuk sedemikian. Begitu juga dengan vaksin BCG yang mereka mengatakan bahawa para pekerja asing tidak diberi vaksin, justeru boleh menjadi punca wabak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat cara yang boleh lakukan untuk mengatasi masalah ini.

Antaranya adalah dengan kaedah pergaulan, menjaga kebersihan diri dan etika batuk. Selain itu, dianjurkan untuk menjalankan gaya hidup sihat agar terhindar dari penyakit.

Namun begitu, TB paru-paru adalah kategori yang paling kerap berlaku. Ia senang dijangkiti melalui pernafasan. Oleh itu, dinasihatkan pesakit positif TB paru-paru mematuhi etika batuk. Semasa batuk hendaklah ditekup hidung dan mulut. Elakkan untuk berada di tengah khalayak ramai dan memakai topeng muka.

Tahun lepas telah mencatatkan sebanyak 12 peratus pesakit TB dalam Malaysia terhadap pekerja asing. Peningkatan penyakit TB ini juga kerana pemeriksaan kesihatan yang longgar terhadap pekerja asing. Namun, kemasukan pekerja asing secara haram juga lebih menyukarkan pihak berkuasa untuk memantau status kesihatan mereka.

Oleh itu, langkah yang dijalankan oleh pihak berkuasa dalam mencegah penyakit ini adalah dengan memperkenalkan sistem pengecaman biometik. Sistem ini akan menjadi lapisan kedua saringan pekerja asing yang masuk bekerja di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali telah melancarkan sistem ini pada Ogos tahun lalu dan sistem saringan ini hanya akan menyaring pekerja asing yang sihat sahaja untuk bekerja di negara ini.

Melalui sistem itu, pekerja asing perlu membuat pengecaman cap jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik yang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Jika doktor mendapati pekerja asing itu dijangkiti penyakit berjangkit, mereka perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa kesihatan dalam tempoh segera.

Bagaimanapun, masyarakat awam diminta untuk tidak terlalu bimbang dan panik dengan pendedahan ini. Ini kerana dengan usaha komited kerajaan mengawal dari masa ke semasa dan mewujudkan akta yang boleh mengikat pihak berkenaan, ia akan menjamin penjagaan kesihatan yang maksimum. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *