Pembunuh bersiri paling kejam mengaku rogol, bunuh 59 wanita

BEKAS polis Russia yang sudah disabitkan kesalahan membunuh 22 wanita, mengakui membunuh 59 orang lagi yang berkemungkinan menjadikannya pembunuh bersiri paling kejam dan terkenal dalam sejarah Russia.

Mikhail Popkov, 53, yang digelar ‘Werewolf (serigala jadian)’ dihadapkan ke mahkamah di Irkutsk, Siberia, selepas mengaku melakukan 59 lagi pembunuhan dan satu cubaan membunuh antara 1992 hingga 2010.

Menurut agensi berita Russia, Interfax, lelaki itu sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan merogol dan membunuh 22 wanita serta dua cubaan membunuh.

Popkov membunuh mangsanya selepas menawarkan untuk menumpangkan mereka pada lewat malam, kadang-kadang menggunakan kereta polis ketika dia tidak bertugas di bandar Angarsk.

Selain digelar ‘werewolf’ media Russia juga menggelarnya ‘orang gila Angarsk’.

Jika disabitkan bagi semua pembunuhan, termasuk 59 yang terbaru, dia akan mengatasi rekod ‘pembunuh papan catur’ Alexander Pichushkin yang membunuh 48 orang dan Andrei Chikatilo (52 orang) ketika era Soviet Union.

Perbicaraan pertama bagi 59 kes itu hari ini, diadakan secara tertutup bagi mengelak maklumat lengkap serangan seksual terhadap mangsa dilaporkan media.

Popkov menganggap dirinya sebagai ‘pencuci’ yang membersihkan bandar daripada pelacur.

Dalam temuramah pada Disember lalu, dia memberitahu menggunakan tukul atau kapak untuk membunuh mangsa, biasanya mensasar wanita mabuk atau yang tinggal di kawasan dianggapnya tidak bermoral.

Jenayah itu dilakukannya ketika bertugas sebagai anggota polis dan selepas bersara pada 1998.

Popkov berjaya ditahan pada 2012 selepas penyiasat memeriksa kembali ujian DNA penduduk, menumpukan kepada pemandu kereta yang kesan tayarnya ditemui di tempat pembunuhan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *