‘Pembunuh’ tak boleh jadi PM.. – Mangsa Memali

“Mana mungkin ‘pembunuh’ boleh jadi Perdana Menteri, apa yang sudah dilakukan beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak dapat ditebus dengan perkataan maaf”, tegas balu Ustaz Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya), Solehah Husin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pakatan Harapan yang menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan itu sebagai calon Perdana Menteri sementara jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Solehah berkata beliau terkejut dan tidak sangka individu yang menjadi punca kematian penduduk Kampung Memali di Baling Kedah dan beberapa anggota polis dijadikan sebagai sandaran pakatan pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Beliau berkata beliau sehingga kini tidak dapat melupakan kejadian yang berlaku pada tahun 1985 dan meragut nyawa suaminya itu serta menegaskan tiada maaf untuk bekas perdana menteri keempat itu.

“Sejarah Mahathir selaku Perdana Menteri amat teruk dan kini dicalonkan semula untuk menjadi Perdana Menteri.

“Mana mungkin ‘pembunuh’ boleh jadi Perdana Menteri…saya sangat terkejut dan rasa benci dengan Mahathir selepas apa yang berlaku kepada saya sekeluarga dan orang kampung.

“Sepatutnya rakyat janganlah terpedaya dengan lakonan Mahathir, janganlah sokong beliau. Apa yang sudah dilakukannya tidak dapat ditebus dengan perkataan maaf. Bagi saya, tiada maaf bagi mu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim Libya antara 18 korban kejadian berdarah di Kampung Memali termasuk empat anggota polis.

Solehah berkata beliau tidak pernah berhenti mengharapkan pembelaan ke atas semua mangsa kejadian yang dituduh sebagai pengganas yang mahu menjatuhkan kerajaan.

“Secara jujur, saya tidak akan memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika insiden Memali).

“Saya pasti, perkara sama juga dirasai semua mangsa yang kehilangan keluarga, termasuk yang tercedera,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata jika Mahathir kembali memerintah, harapan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kejadian tersebut akan terkubur dan jika dilakukan sekalipun pasti tidak telus.

“Jika Mahathir mahu memohon maaf dan datang sendiri ke Memali pun saya tidak akan benarkan beliau masuk ke rumah, apatah lagi bersemuka,” katanya.

Seorang lagi mangsa kejadian tersebut turut berkongsi kisah, Abdullah Che Soh, 71 dengan berkata beliau yang ‘merasai’ sendiri peluru polis turut bersependapat dengan Solehah – tidak setuju dengan pemilihan Mahathir sebagai Perdana Menteri semula.

Beliau berkata beliau sering teringat akan kekejaman Mahathir di Kampung Memali setiap kali melihat parut yang terdapat pada tubuhnya.

“Kesan tembakan iaitu empat di tangan, tiga di dada dan satu di pinggang membuatkan saya mahukan pembelaan.

“Bayangkan, saya terpaksa dirawat di Hospital Alor Setar dengan kedua-dua tangan digari pada katil, selain di lokap selama sebulan dan ditahan secara tidak sah selama lima bulan di Penjara Kamunting, Perak.

“Hanya melalui RCI kebenaran boleh terungkai. Jika saya dan mangsa tidak dapat pembelaan di dunia, kami akan tuntut di akhirat,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *