Penggemar Durian kampung merungut harga naik belasan ringgit sekilogram

Permintaan untuk buah durian memang tidak pernah kurang, malah semakin meningkat. Disebabkan buah durian semakin kurang dan permintaan semakin bertambah, ini membuatkan harga durian sudah menjadi semakin mahal.

Tidak kiranya dari harga durian kampung sehingga durian Musang King, D24, dan banyak lagi. Terbaru, ramai penggemar durian kampung sudah mula merungut tentang harga durian kampung yang naik sehingga belasan ringgit untuk sekilogram.

Pegawai Pertanian Daerah Kulim, Noor Afifah Ramli memaklumkan harga durian kampung naik kerana faktor cuaca sejuk. Malah, di utara tanah air awal tahun lalu berlaku jumlah taburan hujan yang banyak sehingga berlakunya banjir.

Beliau berkata, faktor cuaca hujan sangat memberi kesan kepada pengeluaran durian kerana tidak begitu banyak durian yang dapat mengeluarkan hasil.

“Trend harga durian kampung melambung tinggi ini mempengaruhi pengeluaran buah durian, kerana pokok tiada tekanan sehingga kurang penghasilan bunga serta buah.

“Durian memerlukan faktor tekanan cuaca kering dan panas untuk penghasilan buah yang banyak, seperti tahun sebelumnya sehingga menjadi lambakan buah dan harganya jatuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengatakan harga durian akan menjadi murah jika musim kering dan panas kerana berlaku lambakan durian sehingga dijual dengan hanya RM1.

“Memang harga akan kembali murah apabila ada lambakan, sebelum ini pun pernah terjadi dengan hanya RM1 kita sudah mampu makan durian jenis kampung dan sehingga perlu dijadikan produk hiliram seperti tempoyak dan lempuk,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga pengemar durian di media sosial mencadangkan untuk menggunakan kuasa pengguna dengan memboikot buah durian. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *