Pengundi Melayu/Islam akan tolak Pakatan di PRU14 demi survival bangsa

Pengundi Melayu dan Islam dilihat akan menolak Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang demi mempertahankan bangsa dan agama.

Ini kerana ramai orang Melayu dan Islam bimbang berhubung hak dan kedudukan istimewa mereka yang kini dilihat semakin terancam. Keadaan seperti ini kerap terjadi dan boleh dilihat di negeri Pulau Pinang yang dibawah pentadbiran DAP.

Jika dilihat disebelah pulau, orang Melayu yang tinggal di seberang sana hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu. Ini menunjukkan mereka sedang dipinggirkan secara perlahan-lahan dalam arus pembangunan negeri Pulau Mutiara itu.

Selain itu, antara peristiwa penting yang tidak dapat dilupakan orang Melayu dan Islam seperti isu pengharaman festival arak “Better Beer Festival” ataupun Oktoberfest, isu perkhidmatan dobi layan diri mesra Muslim dan larangan pemakaian tudung ke atas wanita Islam yang bekerja di kaunter hadapan sesetengah hotel.

Tindak balas sesetengah pemimpin politik pembangkang yang bukan Islam terutamanya dari parti Roket yang diterajui Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam isu ini jelas menunjukkan mereka biadap dan tidak hormat terhadap institusi Islam di negara ini.

Malah, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sudah bertindak biadap dan keterlaluan menyerang institusi Islam secara terbuka apabila beliau baru-baru ini menyelar dan menyalahkan para Mufti atas tindakan mereka yang berdiam diri sewaktu kontroversi Amanat Haji Hadi dan tragedi Memali yang berlaku lebih 30 tahun dahulu.

Atas faktor-faktor inilah orang Melayu dan Islam semakin bimbang dengan masa depan Islam di negara ini. Mereka sememangnya mempunyai sebab dan alasan yang kukuh untuk berasa seperti itu.

Kebimbangan orang Melayu dan Islam bukan hanya mengenai parti Roket itu sahaja, malah ianya juga berhubung kegagalan parti komponen di dalam Pakatan Harapan majoriti Melayu yang lain dalam mempertahankan dan memartabatkan institusi Islam di negara ini.

Nasib baiklah UMNO dan PAS cepat sedar mengenai perkara ini. Tindakan PAS keluar pakatan pembangkang pada 2015 adalah satu langkah tepat dan bijak demi mempertahankan kesucian institusi Islam.

UMNO pun dilihat semakin sedar dan membuka mata apabila melihat pelbagai usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat pelbagai agama dan bangsa di bawah satu identiti nasional terus diperkecilkan dan diperlekehkan oleh pemimpin-pemimpin politik bukan Islam yang biadap dan tidak bertanggungjawab.

Atas sebab itulah, UMNO kini dilihat mengambil tindakan yang lebih bijak dan pragmatik dengan mendekati parti Islam itu dan beberapa pertubuhan Islam yang lain dengan satu matlamat iaitu mempertahankan dan memartabatkan kesucian institusi Islam dan Melayu di Malaysia.

Ini dapat dilihat apabila UMNO dan PAS sudah beberapa kali berpadu tenaga dan berkongsi pentas dalam isu yang membabitkan kepentingan umat Islam. Sebagai contoh, Himpunan solidariti untuk Rohingya dan Palestin. Ini juga menjadi contoh dan bukti paling kukuh kerjasama antara kedua-dua parti itu walaupun kedua-duanya akan terus bersaing sesama sendiri.

Keadaan ini akan membuatkan orang Melayu dan Islam berfikir bahawa mereka mempunyai pilihan yang lebih baik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *