PM yakin rakyat Malaysia bijak buat pilihan

Setiap rakyat pasti inginkan sebuah kerajaan yang terus menerus membantu menambah baik kehidupan rakyatnya dan mengerakkan Malaysia ke arah negara yang lebih baik dan maju.

Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rakyat Malaysia bijak untuk memilih kerajaan untuk masa akan datang dan tahu siapa yang berjuang untuk kepentingan mereka sebenar-benarnya.

Beliau berkata, rakyat juga pasti sudah dapat melihat dengan jelas pihak yang yang sering menaburkan janji palsu untuk kepentingan politik semata-mata.

“Inilah pilihan yang ada di hadapan rakyat Malaysia pada 2018. Sebuah kerajaan yang terus- menerus berusaha bagi menambah baik kehidupan mereka, dengan arah tuju serta dasar yang jelas untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan dalam jangka masa singkat, sederhana dan panjang atau pihak yang hanya mampu berkempen secara negatif, dengan harapan unuk menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat kerana tiada apa yang dapat mereka beri kepada rakyat Malaysia, selain perpecahan dan ilusi populis yang kelak akan memusnahkan negara ini,” katanya.

Menurutnya, sikap ahli politik yang sanggup menipu rakyat tentang negara sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah salah dari segi moral dan seperti mengkhianati Malaysia.

“Dengan berlandaskan prinsip dan tingkah laku beretika, mereka boleh dan sepatutnya memainkan peranan secara bertanggungjawab dalam membina negara.

“Bagaimanapun, bukanlah perbuatan mulia atau bertanggungjawab sekiranya cubaaan dilakukan untuk mensabotaj ekonomi negara dengan membuat tuduhan liar dan tidak benar yang boleh merosakkan kebajikan dan kehidupan rakyat. Berbohong tentang negara sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah salah dari segi moral dan orang yang berbuat begitu sebenarnya mengkhianati Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata lebih menyedihkan apabila seorang bekas pemimpin yang cuba untuk menggulingkan kerajaan hanya kerana mahu merealisasikan cita-cita untuk anaknya.

“Juga, bukanlah bersikap bertanggungjawab namanya jika ahli politik menentang semata-mata kerana ingin menentang, walaupun sebenarnya, secara diam-diam mereka bersetuju bahawa langkah yang diambil kerajaan adalah betul.

“Sudah terlalu banyak kita lihat tentang hal ini, sama ada berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang mendapat pujian daripada hampir semua pakar ekonomi terkemuka dunia, serta merupakan suatu pembaharuan yang turut dilaksanakan hampir semua negara lain, termasuk India dan Arab Saudi, dan berhubung 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang berlaku pada masa lepas. Oleh itu, wajar jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diberi nafas baharu menunjukkan kepada mereka yang melakukan kesalahan bahawa mereka akan dikenakan tindakan.

“Saya ingin umumkan bahawa pada Julai lepas, kerajaan mengambil tindakan untuk menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diwujudkan seorang bekas pemimpin. Rakyat Malaysia telah membayar harga yang tinggi apabila beberapa rakan bekas pemimpin ini mengaut keuntungan lumayan, tanpa mengambil kira beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Malah katanya, Malaysia memegang teguh pentas global seperti yang terbukti melalui usaha negara berhubung krisis Rohingya dan pendirian tegas dipamerkan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa tentang isu Baitulmuqaddis yang tidak membenarkan sama sekali diiktiraf sebagai ibu negara Israel.

“Kepimpinan Malaysia juga mendapat pengiktirafan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) apabila resolusi Gerakan Kesederhanaan Global kita untuk memerangi ekstremisme dan radikalisasi diterima pakai melalui pengundian pada Perhimpunan Agung badan dunia itu,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *