PPBM akan rosakkan negara jika diberi kuasa.. – Anina

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan merosakkan negara jika diberikan kuasa untuk memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata pengasas PPBM, Anina Saadudin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ramai pemimpin bahagian parti Bunga itu tampil membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung kegagalan pimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti berkenaan.

Anina yang juga Presiden Empirical Malaysia berkata jika parti ‘setahun jagung’ itu mampu melakukan pemalsuan dokumen, perlanggaran perlembagaan, pelantikan berdasarkan kronisme, bayangkan apa yang akan terjadi jika parti Bunga ini diberi kuasa untuk memerintah negara selepas PRU-14.

“Bayangkan apa yang akan terjadi jika parti ini diberi mandat besar untuk mentadbir negara selepas PRU14.

“Saya menggesa dan mendesak RoS untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menyiasat lebih 400 aduan yang diterima oleh institusi tersebut berkaitan isu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, PPBM mengadakan mesyuarat agung sulungnya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor tanpa melibatkan perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan sayap parti tersebut.

Mengulas lanjut, Anina berkata bukan sesuatu yang pelik jika parti Bunga itu melanggar perlembagaannya kerana Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh sendiri didakwa melakukan banyak salah laku termasuk memalsukan watikah pelantikannya sebelum ini.

Beliau juga berkata isu dakwaan perlanggaran perlembagaan parti dalam penganjuran Mesyuarat Agung PPBM, ianya perkara ‘biasa’ bagi pentadbiran sebuah parti sampah.

“Shahruddin adalah seorang office bearer yang tidak berkelayakan dalam pengurusan pentadbiran parti. Bukan sahaja tidak mampu secara intelektual malah mengamalkan pentadbiran politik korup.

“Apabila timbul isu perlembagaan parti dalam penganjuran Mesyuarat Agung PPBM, saya anggap ianya perkara ‘biasa’ bagi pentadbiran sebuah parti sampah,” katanya.

Sehubungan itu, Anina turut mengingatkan rakyat supaya membuat penilaian dengan bijak sebelum memangkah parti Bunga itu hanya berdasarkan janji politik semata-mata.

“Jangan menilai sesebuah perjuangan dari slogan dan teriakan semata-mata, tetapi nilailah rekod prestasi perkhidmatan kepada rakyat.

“Nilaikan dari mata hati, jangan menilai dari omokan dan dakyah politik,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *