Rakyat Malaysia sanggup jadi ‘bangla’ di Korea kerana gaji tinggi

Kerajaan Malaysia terpaksa membawa masuk pekerja asing termasuk dari Bangladesh kerana sikap rakyat tempatan yang tidak berminat bekerja dalam sektor ‘3D’ iaitu ‘ dangerous, difficult dan dirty.

Tindakan yang sama juga telah dilakukan oleh Korea Selatan apabila membuka peluang pekerja asing untuk bekerja di negaranya terutamanya dalam sektor berisiko tinggi seperti pembinaan dan pembuatan yang dianggap rakyatnya sebagai teruk dan gaji rendah.

Disebabkan itu, ramai rakyat Malaysia yang sanggup menjadi ‘bangla’ di Korea hanya kerana dijanjikan gaji yang tinggi, walaupun sedar berdepan risiko bahaya bekerja di negara tersebut.

Seorang mangsa rakyat Malaysia membuat aduan di pejabat Kementerian Pekerjaan dan Buruh kerana tidak dibayar gaji.

Antara risiko yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah tidak akan menerima sebarang pampasan jika mengalami kecederaan atau terbabit kemalangan semasa di tempat kerja.

Kesukaran untuk mendapat pampasan itu kerana rakyat Malaysia yang bekerja di sana kebanyakkannya tidak memiliki status kerja yang sah.

Seorang wartawan media Korea Herald (KH), Ock Hyun-ju yang bekerjasama dengan mStar Online telah mendedahkan tentang isu peruntukan dan pampasan yang akan diperolehi pekerja asing di sana.

Hyun-ju berkata, pekerja tempatan dan pekerja asing akan dibayar pampasan untuk sebarang kecederaan di tempat kerja menerusi Akta Piawaian Buruh dan Akta Insurans Pampasan Kecacatan Perindustrian.

Beliau mendedahkan ramai pekerja asing sukar mendapat pampasan kerana kesukaran bahasa dan tidak sedar tentang skim terbabit. Malah, terdapat ramai pekerja asing terutamanya pekerja Malaysia sukar untuk mendapat pampasan kerana tidak memiliki status kerja yang sah.

Hyun-Ju (tiga dari kanan) ketika menemubual pekerja asing yang merupakan rakyat Malaysia di Korea Selatan.

“Pekerja asing rasa sukar untuk menerima pampasan disebabkan halangan bahasa, kesedaran yang rendah terhadap skim itu dan mereka takut hilang kerja atau dihantar pulang jika bertegas menuntut pampasan.

“Kebanyakan pekerja tanpa memiliki status sah, seperti pekerja Malaysia yang disebut dalam artikel terdahulu mendapati lebih sukar untuk menerima pampasan kerana mereka diupah secara harian dan tidak menandatangani kontrak dalam banyak kes,” katanya.

Rata-rata rakyat Malaysia yang bekerja di Korea tidak mempunyai status kerja yang sah kerana Korea hanya memberikan Sistem Permit Pekerjaan (EPS) dari 16 negara di Asia dan Asia Selatan. Malaysia bukan salah satu daripada 16 negara terbabit.-utaranews

Kredit- Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *