Rasuah terowong akan hantui DAP selepas kes Banglo PingHon

Siasatan kes projek mega pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang akan menghantui parti Roket itu selepas kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan menahan lebih ramai individu bagi membantu siasatan projek terowong dasar laut tersebut kerana disyaki terdapat keraguan dalam urusan pertukaran tanah mebabitkan dua lot tanah yang dinilaikan melampaui harga pasaran.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan kes projek terosong dasar laut berkenaan ketika ini masih di peringkat awal dan dalam proses mengumpul bukti berhubung dakwaan wujud unsur salah guna kuasa dan rasuah dalam projek tersebut.

“Empat individu yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri telah dipanggil untuk memberikan keterangan hari ini. Mereka dipanggil untuk mengesahkan beberapa perkara yang terdapat di dalam dokumen yang dirampas semalam.

“Kita juga ada datang semula ke beberapa pejabat yang diserbu semalam untuk mendapatkan dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga dalam proses meneliti kesemua dokumen yang dirampas bagi mendapatkan maklumat serta bukti untuk melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

Dalam pada sama, beliau memaklumkan dua suspek bergelar Datuk yang direman selama enam hari masing-masing di Mahkamah Majistret Pulau Pinang dan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam akan membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek ditahan malam semalam selepas dikhuatiri terlibat dalam perbuatan penyelewengan dan salah guna kuasa ketika proses tender projek tersebut dilaksanakan antara tahun 2013 dan 2015.

“Kedua-duanya ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang dan Putrajaya,” katanya.

Semalam, pihak berkuasa berkenaan memperoleh perintah tahanan reman ke atas dua eksekutif kanan syarikat pemaju bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut tersebut.

Baru-baru ini, SPRM menyerbu tujuh lokasi di negeri ini masing-masing empat pejabat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan tiga syarikat pemaju serta konsultan bagi membantu siasatan projek terowong dasar laut tersebut.

Serbuan itu dibuat berikutan dua laporan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan di pejabat SPRM Putrajaya Julai tahun lalu dan 5 Januari lalu berhubung kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa dan rasuah dalam projek berkenaan.

Huan berkata Kerajaan DAP Pulau Pinang melanggar garis panduan perolehan apabila memberi projek tersebut kepada syarikat yang menimbulkan kebimbangan juruaudit dan modal berbayarnya adalah 1,900 kali di bawah keperluan minimum JKR.

Tambah beliau, kebimbangan juga menjurus kepada kemampuan kewangan syarikat berkenaan menyiapkan projek tersebut yang kini tertangguh selama lebih tiga tahun tetapi sudah menerima bayaran fi daripada kerajaan negeri berjumlah RM220 juta.

Sementara itu, perbicaraan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran pula ditetapkan selama 23 hari bermula 26 Mac ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil 40 saksi.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Guan Eng, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai, 2014 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn, di sini pada 28 Julai, 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *