Sindiket Gores & Menang guna lelaki kacak sebagai umpan

Kes penipuan gores dan menang ini bukanlah perkara baru. Walaupun masyarakat sering kali diingatkan untuk berhati-hati dengan kes penipuan gores dan menang ini masih terdapat mangsa yang tertipu sehingga mengalami kerugian besar.

Terkini, modus operandi gores dan menang dikatakan sudah mula menggunakan sekumpulan kasanova atau lelaki kacak sebagai umpan untuk memperdaya terutamanya wanita di beberapa pusat membeli-belah di Johor Bharu.

Polis telah menerima beberapa kes yang dilaporkan oleh mangsa melibatkan kerugian mencecah ribuan ringgit di Kulaijaya, Johor Bharu Selatan, Kluang dan Iskandar Puteri.

Terbaru, seorang mangsa wanita berusia sekitar 20an telah ditipu sekumpulan empat lelaki dan seorang wanita yang juga lingkungan usia sama.

Wanita itu dikatakan telah mengalami kerugian kira-kira RM45,000. Mangsa yang sedang membeli belah di Kulai mulanya didatangi dua lelaki kacak yang mengatakan mangsa telah memenangi cabutan bertuah dengan hadiah wang tunai.

“Ketika ini, seorang lagi lelaki kacak menyertai mereka dan memberitahu wanita berkenaan supaya melabur sejumlah wangnya untuk jumlah hadiah wang tunai yang dimenangi lebih besar,” kata sumber.

Kemudian wanita terbabit telah terpedaya dan mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM45,000 dan menyerahkan kepada suspek. Apabila menerima wang yang diberikan mangsa, suspek telah melarikan diri ketika mangsa ke tandas.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai May berkongsi pengalaman kerugian wang RM10,000 apabila dia menggambarkan telah didatangi seorang lelaki kacak dan seorang wanita yang mendakwa mereka membuat kaji selidik tentang pusat membeli belah di Johor.

“Saya ingat mereka hanya mahu bersembang sementara menunggu rakan yang lain, tetapi sebaliknya mereka memberitahu saya boleh memenangi hadiah mewah menerusi cabutan bertuah.

“Pada mulanya saya tidak berminat, tetapi mereka memujuk supaya saya turut serta dan akhirnya saya kerugian lebih RM10,000,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *