Sindiket Macau Scam berjaya tipu RM 4.6 juta daripada rakyat Kedah

Walaupun sudah banyak peringatan dan nasihat di media sosial dan akhbar tempatan tentang penipuan Macau Scam, tetapi dilihat masih lagi ramai orang yang tidak endahkan perkara ini apabila ramai yang menjadi mangsa tipu sindiket terbabit.

Modus operandi sindiket penipuan itu tetap sama dengan membuat panggilan dengan menyamar sebagai pegawai polis, dan institusi kewangan tempatan untuk menakut-nakutkan mangsa terlibat dengan kes jenayah atau kad kredit sebelum meminta mangsa menyerahkan wang atau membuat pemindahan wang di akaun yang diberikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supt Chan Teck Paing mendedahkan sindiket penipuan itu telah berjaya menipu RM4.6 juta daripada rakyat Kedah.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima 134 laporan yang membabitkan penipuan Macau Scam itu. Sindiket ini mudah untuk memperdaya mangsa apabila telah merekrut warga tempatan terdiri dari orang Melayu berbanding sebelum ini mereka merekrut warga asing.

“Melalui siasatan kami dapati sindiket sudah mula merekrut anak tempatan terdiri kaum Melayu menyebabkan statistik kes tahun lalu didominasi oleh 93 mangsa orang Melayu, 34 kaum Cina dan India tujuh kes.

“Mereka yang menjadi mangsa juga adalah ahli perniagaan, guru, pekerja kewangan dan suri rumah,” katanya.

Tiga wanita terdiri daripada dua ahli perniagaan dan seorang kakitangan hotel kerugian RM32,000 dalam temph dua bulan kerana menjadi mangsa sindiket penipuan itu.

Menurutnya, sindiket itu telah menyamar sebagai pegawai kastam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan memperdaya dengan mendakwa mangsa mempunyai telefon bimbit di bawa masuk tanpa cukai dan meminta mangsa untuk membayar sejumlah wang untuk membolehkan barang itu dibawa masuk ke negara ini.

“Sindiket juga bijak membuat helah dengan menyambung panggilan mangsa kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Kedah yang kemudian mendakwa akaun bank mereka terbabit kes dadah dan selepas itu proses penipuan berlaku sehingga mangsa ketakutan dan menurut arahan sindiket demi melepaskan diri,” katanya.

Oleh itu, orang ramai diminta tidak menjawab sebagai panggilan dari nombor telefon yang mencurigakan untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu sindiket penipuan terbabit.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *