Sindiket Macau Scam jadikan Thailand sebagai pusat operasi

Sindiket Macau Scam memang telah berjaya memperdayakan ramai rakyat Malaysia sehingga menyebabkan berlaku kerugian bernilai ribuan ribu ringgit. Antara modus operandi yang sering dilakukan untuk memperdaya mangsa adalah menyamar sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersial.

Terkini, pihak berkuasa Thai telah berjaya menahan enam rakyat Malaysia yang disyaki anggota sindiket penipuan Macau Scam. Perkara ini menunjukkan sindiket Macau Scam telah menjadikan Thailand sebagai pusat operasi untuk penipuan sindiket melibatkan mangsanya warga Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia yang telah ditahan di penjara Thai kerana terlibat dengan sindiket Macau Scam. Oleh itu, pihak polis negara telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk menyelesaikan masalah sindiket penipuan yang semakin berleluasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata jika dahulu sindiket Macau Scam ini hanya dilakukan oleh warga Afrika, China atau Taiwan. Tetapi, kini sindiket ini telah merekrut warga tempatan dan menjadikan Thailand sebagai pusat operasi.

“Penipuan pusat panggilan membabitkan rakyat Malaysia (di Thailand) perlu diberikan perhatian. Sebelum ini, penipuan itu dilakukan oleh warga Afrika, China atau Taiwan di Malaysia, tetapi kini rakyat Malaysia datang ke Thailand untuk menipu orang di sini,” katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Thai (RTP) telah meminta bantuan pihaknya untuk menahan sisa-sisa sindiket Macau Scam yang dipercayai bersembunyi di beberapa negeri di Malaysia.

Sumber menyatakan beberapa rakyat Malaysia yang ditahan adalah sebahagian daripada sindiket pusat panggilan yang didalangi oleh mafia warga Taiwan. Semasa tangkapan oleh polis Thai Oktober tahun lepas meraka telah menyelamatkan tiga rakyat Malaysia yang dipukul dan dikurung sindiket terbabit.

Penangkapan enam anggota sindiket rakyat Malaysia menunjukkan sudah perkara ini sudah menjadi trend rakyat Malaysia terlibat dalam jenayah di Thailand.

Sementara itu, pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kedutaan Malaysia di Thailand, Supt Ridzuan Abdul Aziz, berkata kerjasama antara kedua-dua negara ini amat penting dalam menangani masalah ini.

Penglibatan pelbagai negara perlu untuk menghapuskan sindiket ini yang merangkumi beberapa negara.

“Sindiket pusat panggilan telah beroperasi (di Thailand) untuk tempoh yang lama dan mempunyai rangkaian di banyak negara. Kami perlu menyelaras dengan polis negara terbabit seperti polis Malaysia,” katanya.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *