Sindiket penipuan pakej Umrah tak akan dibiarkan lepas mudah

Sejak 2012 hingga Oktober 2017 dilaporkan seramai 3,714 penduduk Islam negara ini yang hasrat mengerjakan umrah terpaksa berputih mata akibat menjadi mangsa penipuan pakej umrah.

Daripada kesemua mangsa yang dicatatkan itu, jumlah kerugian yang dihadapi oleh kesemua mangsa dianggarkan mencecah RM30.8 juta.

Selain itu, warga Kuala Lumpur dilaporkan paling banyak menjadi mangsa penipuan tersebut dengan jumlah kerugian mencecah RM4 juta.

Ramai mangsa tertipu apabila ditawarkan menunaikan pakej umrah pada harga yang murah sedangkan mereka adalah syarikat yang tidak berlesen.

Mangsa hanya menyedari menjadi mangsa tipu apabila mereka terkandas di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Oleh itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap semua mangsa yang ditipu pakej umrah untuk membuat laporan kepada kementeriannya, polis atau Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, perkara ini perlu dibuat agar sindiket penipuan pakej Umrah ini tidak akan dibiarkan mudah terlepas.

“Saya harap mereka yang menghadapi masalah di luar negara (termasuk terkandas) boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Kita tidak akan membiarkan orang seperti ini (penipu) dengan mudah terlepas,” katanya.

Mas Ermieyati berharap lebih ramai mangsa sindiket penipuan umrah akan tampil membuat laporan.

“Satu laporan mungkin tidak mencukupi untuk disiasat, kami berharap lebih ramai boleh tampil ke depan untuk membuat laporan,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *