Skim ADAM50 bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat

DANA Tabungan Permulaan sebanyak RM200 diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 tahun lalu berkata, skim itu yang pertama kali diperkenalkan bagi menjamin masa depan generasi TN50 dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Kerajaan dan PNB telah memperuntukan kira-kira RM100 juta setahun untuk ADAM50 itu.

Menurut, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, peruntukan itu seiring dengan kelahiran bayi setiap tahun iaitu sebanyak 500,000 orang.

“Kos setiap tahun RM100 juta setahun dibiayai kerajaan dan PNB separuh-separuh. Ini merupakan pelaburan yang amat besar, juga manfaat yang besar untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ADAM50 itu akan dilakukan selama lima tahun untuk tempoh percubaan dan akan melihat sambutan dari ibubapa sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk meneruskannya.

“Kita nak lihat dulu lima tahun ini berapa ramai yang ambil faedah dan manfaat untuk ini dan kita akan nilai sama ada teruskan atau tidak,” katanya.

Menurutnya, ibubapa akan diberi kelonggaran untuk mendaftar di bawah skim ini dalam tempoh setahun selepas kelahiran anak mereka dan bebas untuk menabung mengikut kemampuan masing-masing.

Orang ramai yang mahu mendaftar bayi anda yang layak mendapat insentif ADAM50 perlu membawa dokumen seperti kad pengenalan ibubapa, sijil kelahiran anak, dan dokumen sokongan (jika didaftarkan oleh penjaga).

Ibubapa boleh ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen rasmi ASNB iaitu Maybank & Maybank Islamic, CIMB & CIMB Islamic, RHB & RHB Islamic, Affin Bank, Ambank & Ambank Islamic, dan Pos Malaysia. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *