SPRM tak tolak kemungkinan tangkap Tokong jika ada bukti kukuh

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah merekodkan keterangan saksi berhubung siasatan terhadap dakwaan wujud unsur salah guna kuasa dan rasuah dalam projek terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pihak berkuasa berkenaan juga memaklumkan telah mengambil banyak dokumen dari pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar bagi membantu siasatannya terhadap projek mega tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya ( Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pasukan penyiasat telah ke pejabat kerajaan dan syarikat di 12 lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi mengumpul bukti serta merakam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan penyiasat telah merekod keterangan 12 individu bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

12 individu ini terdiri daripada pegawai-pegawai Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Perancangan Ekonomi Negeri, Pejabat JKR, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pengarah urusan sebuah syarikat.

Beliau juga berkata buat masa ini tiada tangkapan lain dibuat dan pasukan penyiasat dalam proses merakam percakapan saksi-saksi untuk memperoleh lebih maklumat berhubung kes berkenaan.

“Tiada tangkapan dilakukan buat masa ini. Pasukan penyiasat hanya merakam kenyataan untuk medapatkan lebih maklumat.

“Tetapi saya tidak mengatakan tiada tangkapan lagi selepas ini. Mungkin, sekiranya kami mendapat maklumat atau bukti baharu dalam siasatan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, SPRM menyerbu tujuh lokasi di negeri ini masing-masing empat pejabat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan tiga syarikat pemaju serta konsultan bagi membantu siasatan projek terowong dasar laut tersebut.

Susulan itu, pihak berkuasa tersebut telah menahan reman Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Syarikat Pembangunan Hartanah berpangkat Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Azam berkata pasukan penyiasat kini dalam proses mengkaji dokumen-dokumen berhubung kontrak perjanjian pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

Dokumen itu perlu dikaji dengan teliti kerana perjanjian itu dilihat amat meragukan dan nilai kajian kebolehlaksanaan projek mega itu tidak mencecah jumlah RM305 juta seperti yang diumumkan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Dipercayai nilai kajian itu berkemungkinan tidak selari dengan nilai pertukaran Tanah yang dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik untuk membayar kajian kebolehlaksanaan itu.

Serbuan dan tangkapan dilakukan berdasarkan bukti baru berhubung projek mega pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baharu kepada pihak berkuasa berkenaan berhubung projek terowong dasar laut tersebut.

Projek terowong dasar laut di Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *