14 peratus pendengar radio ‘benci’ pengacara yang banyak celoteh merapu

Sudah menjadi rutin setiap orang apabila dalam perjalanan pergi ke pejabat pasti akan mendengar radio sebagai halwa telinga. Malah, boleh dikatakan tidak lengkap hidup jika menaiki kereta dalam pejalanan ke pejabat tidak membuka radio.

Perkara tersebut juga akan berulang apabila orang ramai dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat.

Bagaimanapun, terdapat sesuatu yang tidak boleh diterima oleh pendengar adalah penyampai stesen-stesen radio berbahasa Melayu lebih mengutamakan celoteh merapu berbanding menyampaikan maklumat berbentuk ilmiah kepada pendengar.

Sebelum ini, pengendali program JoHaRa Pagi Era iaitu Johan, Haniff dan Ray pernah dicop sebagai penyampai radio yang syok sendiri. Tetapi, mereka menjelaskan tidak kisah dicop sebagai syok sendiri.

Johan pula berkata adalah berbaloi jika mereka syok sendiri kerana pilihan di tangan pendengar. Katanya, menjadi penyampai radio bukanlah tugas mudah.

“Ia bukan satu tugas yang mudah meski orang mungkin beranggapan begitu. Saya akui, ada segelintir yang anggap kami ni syok sendiri ketika berada di konti.

“Bagi saya, memang kami kena syok sendiri sebab kalau kami tak buat begitu, macam mana pendengar pun nak syok untuk dengar kami?

“Kalau mereka suka, kami juga suka dan anggap ia adalah respons yang positif untuk kerja kami,” katanya.

Sementara itu, terdapat kajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun lalu berkaitan Pengguna Radio menunjukkan 75 peratus rakyat Malaysia merupakan pendengar radio.

Manakala, 25 peratus rakyat negara ini tidak berapa menyukai atau penggemar radio. Alasan yang diberikan mengapa tidak gemar mendengar radio kerana mendapat maklumat dari sumber lain sebanyak 32.5 peratus.

30.6 peratus tidak mempunyai radio set dan 24.7 peratus pula lebih suka memuat turun lagu sendiri.

17.9 peratus pula mendakwa tidak suka mendengar radio kerana terlalu banyak iklan, dan 14 peratus pula berkata terlalu banyak ‘chit chat’ atau celoteh merapu oleh penyampai radio. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *