70 ribu pelabur rugi ditipu dalam urusniaga Forex

Skim pelaburan memang cukup banyak berada di Malaysia, dan skim pelaburan yang paling banyak mendapat perhatian adalah skim pelaburan cepat kaya. Melabur tanpa perlu risau tentang kerugian, apabila melabur hanya akan dapat keuntungan dalam tempoh yang singkat.

Disebabkan mudah terpedaya dengan skim pelaburan cepat kaya, ramai yang telah menjadi mangsa penipuan. Walaupun pihak berkuasa berusaha untuk menangani kes penipuan melibatkan skim pelaburan ini, masih ramai masyarakat yang menjadi mangsa dan terlibat dengan skim pelaburan ini.

Terkini, hampir 70,000 pelabur telah menjadi mangsa tipu dan mengalami kerugian bernilai RM1 bilion apabila ditipu satu sindiket pelaburan berasaskan Forex.

Skim pelaburan berasaskan Forex atau dikenali sebagai Fx United telah didalangi oleh lima individu termasuklah suami isteri bermula sejak tahun 2013.

Sindiket ini dikesan sangat bijak mencari pelabur dengan mempromosikan pelaburan mereka dengan nilai paling minimun RM3,000 hingga RM100,000 melalui media sosial.

Hasil pelaburan modal oleh pelabur terbabit, mereka akan dijanjikan pulangan modal yang lumayan sebanyak 12 peratus setiap bulan dan sering mengadakan seminar pelaburan di hotel.

Selain itu, ramai pelaburan semakin yakin dengan sindiket ini apabila menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membabitkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk.

Tetapi, kegiatan sindiket itu telah terbongkar apabila 116 mangsa yang melabur telah mengalami kerugian sebanyak RM6.2 juta apabila tidak mendapat pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan dan membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menjelaskanya, pihaknya telah melakukan penahanan terhadap tiga individu bergelar Datuk berusia antara 35 hingga 49 tahun secara serentak di empat premis sekitar ibu negara.

Hasil penahanan terbabit, pihak polis berjaya merampas 13 kereta mewah, tiga motosikal berkuasa tinggi, 10 ke­tul emas seberat 100 gram setiap satu, pingat penganugerahan Datuk, pelbagai dokumen dan beg serta jam tangan berjenama.

“Aset milik suspek iaitu banglo bernilai RM5 juta, kereta Ferrari bernilai RM1.5 juta serta 38 akaun bank berjumlah RM624,000 milik 17 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dibekukan. Kesemua aset dan barangan tersebut dianggarkan bernilai RM10.5 juta.

“Kesemua suspek ditahan me­ngikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang memburu sepasang suami isteri yang merupakan suspek utama pelaburan ini yang dipercayai telah melarikan diri di negara jiran sebaik serbuan dilakukan.

“Mereka ialah Datuk M. Pande­yan, 55, dan iste­rinya, Datin Gouri C. Faskuny, 56. Kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Amar turut menasihati orang ramai untuk tidak mudah terjebak dengan pelbagai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan pelaburan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat dan mendapatkan pengesahan agensi berkaitan dahulu jika ingin menyertai skim pelaburan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *