80 peratus remaja Malaysia kurang Vitamin D

Terdapat kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji di Universiti Malaya menerusi Malaysian Health and Adolescents Longitudinal Research Team study (MyHeARTs), mendedahkan hampir 8 daripada 10 remaja di Malaysia kekurangan vitamin D.

Kajian tersebut dilakukan kepada 1361 pelajar yang mana masing-masing berusia lingkungan 13 tahun hingga 15 tahun di sekolah di Malaysia.

Vitamin D ini sebenarnya penting sebagai membantu dalam regulasi kandungan kalsium dan fosfate di dalam tubuh badan. Nutrient ini diperlukan oleh tubuh badan untuk menguatkan tulang dan otot yang sihat.

Jika kekurangan vitamin D ia boleh menyebabkan risiko penyakit seperti penyakit Jantung, penyakit kencing manis & darah tinggi, Kanser, penyakit, Autoimun dan masalah fungsi kognitif dan pelbagai masalah masalah lain.

Bagaimana nak dapatkan vitamin D yang cukup dalam tubuh badan? Tidak perlulah anda membeli produk-produk kesihatan yang mempunyai vitamin D sebaliknya sumber utama vitamin D adalah cahaya matahari.

Cahaya matahari diperlukan untuk memproses vitamin D dari bawah kulit dan waktu yang baik untuk meningkatkan paras vitamin D berjemur di bawah cahaya matahari pada 10 pagi hingga 2 tengahari.

Pakar Runding Diet, Jabatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Perubatan, Fakulti perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid, berkata ramai orang mengambil ringan tentang kekurangan vitamin D khususnya dalam kalangan remaja.

Tetapi, jika berterusan remaja terbabit akan mengalami kurang kekuatan tulang sehingga menyebabkan kerapuhan. Tempoh jangka masa panjang boleh menyebabkan osteoporosis sekiranya juga kurang pengambilan kalsium. Untuk kanak- kanak mungkin boleh menyebabkan rickets.

Katanya, antara punca ramai remaja mengalami kekurangan vitamin D adalah kebanyakan remaja berada di dalam kelas atau bangunan ketika waktu optimun serapan vitamin D melalui cahaya matahari dari jam 9 pagi hingga 2 tengahari.

“Pada masa ini, jarang kita dapat melakukan aktiviti fizikal disebabkan cuaca tetapi lebih elok sekiranya dapatkan pendedahan pada masa itu (sebelah pagi) melalui riadah walaupun di hujung minggu.

“Dari kajian lagi, makanan yang dimakan juga kurang kandungan vitamin D kerana ramai remaja kurang minum susu yang sememangnya kaya dengan vitamin D dan kalsium. Sumber lain yang kaya Vitamin D selalunya mengandungi gula yang tinggi,” katanya.

Oleh itu, Prof Dr Hazreen menyarankan agar golongan remaja untuk melebihan aktiviti di luar atau senaman sekurang-kurangnya sejam setiap hari pada waktu yang optimun penyerapan vitamin D melalui cahaya matahari.

Selain daripada cahaya matahari, vitamin D juga boleh diperolehi daripada makanan. Tetapi, kandungan vatamin D dalam makanan agak terhad berbanding cahaya matahari.

Antara makanan mengandungi vitamin D adalah Produk tenusu, ikan Salmon, sardin, Herring dan Mackerel, daging, hati dan kuning telur.

Kesimpulannya vitamin D adalah penting untuk kesihatan dan tubuh badan. Tidak perlukan mengeluarkan wang ringgit untuk mendapatkan vitamin D sebaliknya hanya melakukan aktiviti luar sepanjang waktu optimun untuk penyerapan cahaya matahari. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *