Agensi Nafi Berita Lee Joon Cuba Bunuh Diri

Semalam peminat Kpop telah digemparkan dengan berita bekas anggota kumpulan MBLAQ iaitu Lee Joon dilaporkan telah melakukan percubaan membunuh diri dengan memotong pergelangan tangannya.

Menurut laporan media Korea, Seoul Shinmun, Lee Joon atau nama sebenarnya, Lee Chonseon telah mengakui perbuatannya itu sambil menunjukkan pergelangan tangannya pada ketua tentera.

Malah, disebabkan itu juga, pelakon ‘My Father is Strange’ itu telah dibawa ke ‘Green Camp’ iaitu sebuah pusat pembelajaran untuk tentera yang mengalami kesukaran menjalani kehidupan sebagai seorang tentera.

Sebagai balasan untuk laporan mengejut itu, agensi naungan Lee Joon iaitu Prain TPC tampil menjelaskan berita mengenai Lee Joon menunjuk pergelangan tangannya pada ketua tentera sambil mengatakan dia ingin membunuh diri atau kini berada di ‘Green Camp’ itu semua adalah tidak benar.

Agensi itu juga turut mengatakan yang mereka telah mengesahkan berita itu menerusi keluarga Lee Joon yang turut berasa terkejut apabila melihat berita tidak benar itu.

Oleh itu, sebagai tanda menghormati Lee Joon dan juga ahli keluarganya, agensi itu meminta supaya pihak media tidak menulis apa-apa berita seperti itu lagi.

Sementara itu, sejak bulan Oktober 2017 yang lalu, Lee Joon telah menjalani latihan ketenteraan wajibnya di Batalion 8 selepas menerima keputusan yang sangat cemerlang dalam latihan asas ketenteraan dan akan menamatkan latihan ketenteraannya pada bulan 23 Julai 2019. –utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *