Anak jati P.Pinang fail permohonan beli dokumen projek terowong dasar laut DAP

PULAU PINANG – Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan perjanjian projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion menyebabkan dua anak jati Pulau Pinang iaitu Jason Loo Jieh Shieng, 36, dan Puvanitan Puven, 34, memfailkan permohonan untuk membeli dokumen berhubung projek mega DAP berkenaan.

Menurut Jason, permohonan itu dilakukan atas kapasitinya sebagai anak jati Pulau Pinang ekoran Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyatakan tidak ada keperluan mendedahkan perjanjian projek mega DAP berkenaan kepada pihak yang tidak ada kaitan.

Beliau berkata, permohonan ini juga bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai projek terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu, sama ada keseluruhan pelaksanaannya dibuat dalam satu pakej dan perjanjian sama atau sebaliknya.

Katanya, sebelum ini beliau membuat permohonan sama atas kapasiti sebagai pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang dan bekas Ketua Biro Undang-Undang Pemuda, namun mendapat pelbagai halangan daripada mendapatkan dokumen tersebut.

“Bagaimanapun, kali ini saya akan mengemukakan permohonan sebagai rakyat Pulau Pinang yang mempunyai kaitan secara langsung dalam projek ini, selain pentadbiran kerajaan negeri diharap dapat menghormati permohonan dikemukakan anak jati negeri ini.

“Guan Eng sebelum ini, menjelaskan tiada keperluan untuk mendedahkan dokumen mengenai projek ini kepada pihak tidak berkaitan, termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai,” katanya selepas kemukakan permohonan itu di lobi Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Selain maklum balas hanya diberikan selepas dua minggu, pemohonan yang dikemukakann Jason dan Puvaniten itu bagaimanapun tidak diterima apabila pegawai bagi proses tersebut dikatakan berada diluar sedang menjalani tugasan.

Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tidak ada keperluan untuk mendedahkan perjanjian atau sebarang dokumen berhubung projek mega DAP berkenaan kepada pihak yang tidak ada kaitan dalam pelaksanaannya.

Projek mega DAP berkenaan hangat diperkatakan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu dan memanggil hampir 100 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak bulan lalu.

Isu ini menjadi lebih hangat diperkatakan apabila pembabitan sebuah syarikat fesyen dalam projek yang digembar-gemburkan akan menajadi projek terbaik parti Roket itu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *