Anak Taib Azamudden bakal jadi calon PAS di Parlimen Permatang Pauh

Sudah maklum, PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi merampas kerusi tersebut daripada rakan sekutunya, PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal tiba tidak lama lagi. Sekali gus membuat PKR kini sudah jadi gelisah dan tergugat dengan pengumuman parti Islam itu.

Ini juga akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih pada PRU-14 akan datang antara membabitkan calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS.

Lagi pun kemenangan PKR di Parlimen Permatang Pauh selama ini kerana dibantu oleh jentera pilihan raya parti Islam itu. Bagaimanapun, difahamkan bahawa calon PAS yang akan diturunkan untuk bertanding di kerusi itu iaitu Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengesahkan parti islam itu akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi yang kini dipegang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengumuman itu dilakukan ketika program Amanat Presiden PAS ‘PAS Tawan Permatang Pauh’ di hadapan Masjid Jamek Kubang Semang, baru-baru ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata beliau yakin PAS mampu merampas kerusi yang pernah menjadi milik parti Islam itu apabila menang pada PRU 1978 menerusi Ustaz Zabidi Ali.

Kata Presiden PAS itu, Pulau Pinang merupakan negeri bersejarah buat PAS kerana di negeri ini parti Islam itu ditubuhkan.

“Malam ini pendek sahaja, saya nak isytihar PAS nak bertanding Permatang Pauh.

“Ini nak isytihar, ini kawasan PAS, PAS dah ambil pada tahun 1979, nak ambil balik.

“Terpulang kepada pengundi-pengundi di kawasan ini berusaha dengan gigih untuk menangkan PAS, Insha-Allah,” kata Abdul Hadi.

Pilihan Raya Umum 1982, Zaidi bagaimanapun, tewas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Barisan Nasional (BN) semasa itu. Anwar terus kekal menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga penyingkirannya daripada UMNO pada 1998. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *