Bahan kimia perfluoroalkil rangsang pe­ningkatan berat badan wanita

MIAMI – Bahan kimia yang digunakan dalam pembungkus makanan, saduran pada kuali tidak melekat dan pakai­an didapati boleh merangsang pe­ningkatan berat badan de­ngan mengganggu metabolisme, terutama dalam kalangan wanita.

Bahan kimia yang dikenali sebagai bahan perfluoroalkil (PFAS) sebelum ini turut dikaitkan de­ngan kanser, gangguan hormon, gangguan fungsi imun, paras kolesterol tinggi dan obesiti.

Pasukan penyelidik dari Ame­rika Syarikat (AS) mendapati, PFAS turut dikenali sebagai bahan ‘obesogen’ kerana mengganggu kawalan berat badan, dikaitkan dengan kadar metabolisme rehat yang rendah.

Individu yang mempunyai pa­ras PFAS dalam darah yang tinggi juga dikesan mempunyai kadar metabolisme yang lebih perlahan selepas kehilangan berat badan.

“Buat pertama kalinya, pene­muan kami telah mendedahkan laluan baharu di mana PFAS mungkin mengganggu kawalan berat badan manusia dan menyumbang kepada masalah obesiti,” kata pembantu profesor di Fakulti Kesihatan Awam Harvard University, Qi Sun.

Kajian tersebut dilakukan ke atas 621 peserta gemuk dalam program penyelidikan klinikal mengenai penurunan berat badan yang dijalankan pada pertengahan tahun 2000.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Medicine itu mengkaji kesan empat diet sihat untuk jantung terhadap penurunan berat badan dalam tempoh dua tahun di samping mengukur paras PFAS dalam darah mereka.

Kebanyakan mereka yang me­­ngikuti program itu didapati kehilangan 6.4 kilogram dalam tempoh enam bulan pertama, tetapi berat badan akan meningkat semula sehingga 2.7 kilogram sepanjang 18 bulan berikutnya.

“Mereka yang berdepan pe­ningkatan semula berat badan paling banyak turut dikesan mem­punyai kepekatan PFAS da­lam darah paling tinggi, dan kaitan tersebut paling kuat da­lam kalangan peserta wanita,” jelas laporan itu.

Selama hampir 60 tahun, ba­­han kimia tersebut didapati telah mencemarkan sumber air minuman yang terletak berhampiran tapak perindustrian, pangkalan tentera serta loji rawatan air kumbahan dan sukar disingkirkan dari badan.

“Kami menjangkakan bahan kimia itu mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan se­per­ti kanser tetapi nampaknya ia juga memainkan peranan dalam obesiti, masalah kesihatan utama yang dihadapi berjuta-juta orang di seluruh dunia.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa mengelakkan atau me­ngurangkan pendedahan terhadap PFAS dapat membantu individu mengekalkan berat badan yang stabil setelah mereka berjaya menurunkan berat badan, terutama bagi wanita,” kata penulis bersama kajian berkenaan, Philippe Grandjean. – AFP

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *