Belia di P.Pinang tak mampu beli rumah dibawah pentadbiran DAP

Sejak DAP mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2008, parti Roket itu hanya memberi beban dan masalah kepada rakyat negeri Pulau Mutiara itu. Sudah ada banyak bukti menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sememangnya tidak menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri itu dengan baik.

Isu rumah mampu milik di Pulau Pinang sering hangat diperkatakan ramai khususnya rakyat Pulau Pinang kerana kesukaran untuk memiliki rumah sendiri. Tanyalah mana-mana rakyat Pulau Pinang terutama di bahagian pulau negeri itu, rata-ratanya akan mengeluh kerana sukar untuk mereka mempunyai kediaman sendiri.

Masalahnya bukan tiada sebarang projek perumahan yang dibangunkan, malah di setiap ceruk kawasan negeri ini sebenarnya sangat padat dengan projek perumahan baharu. Namun hampir keseluruhannya adalah projek perumahan mewah yang harga seunit sudah semestinya melangkaui kemampuan mereka.

Baru-baru ini, dalam Bicara Dialog Semasa di Route 69, Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendedahkan luahan dari NGO Belia di Pulau Pinang bahawa terdapat golongan muda yang bekerja selama 15 tahun namun masih belum mampu membeli rumah di negeri tersebut kerana harga rumah yang terlalu mahal. Apa puncanya?

Punca harga rumah di Pulau Pinang menjadi mahal disebabkan dasar polisi Kerajaan DAP Pulau Pinang yang bertindak menaikkan cukai hartanah melampau sejak parti Roket itu berkuasa.

Selain itu, sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sombong dan tidak suka meluluskan projek perumahan yang dilakukan oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti PERDA dan JKP meskipun tanah dan peruntukan telah ada untuk dibina projek perumahan.

Cuba bayangkan sebanyak 50 ribu unit rumah mampu milik boleh dibina agensi kerajaan Persekutuan di tanah yang sedia ada, namun malangnya 10 ribu unit rumah diminta kelulusan masih belum diluluskan sejak 2013. Dek kerana tidak mahu rakyat Pulau Pinang berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, DAP sanggup mengetepikan hak rakyat.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sememangnya suka melihat rakyat Pulau Pinang terseksa dengan beban yang diberikan. Ini jauh berbeza dengan manifesto parti Roket itu pada pilihan raya umum lalu yang kononnya mahu memberi kesenangan kepada rakyat Pulau Pinang. Ini bukan kesenangan yang diberikan, sebaliknya penyeksaan!

Jadi, rakyat Pulau Pinang khususnya yang selama ini suka memuji kerajaan DAP hanya sebab dapat wang kebajikan seperti warga emas itu sebenarnya tidak setimpal pun dengan perkara yang lebih utama dan penting utama iaitu rumah yang selesa dibina kerajaan untuk rakyat.

Rakyat Pulau Pinang patut sedar ini yang mereka tidak merasai selama sembilan tahun kerajaan DAP memerintah negeri itu. Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya sibuk mengaut keuntungan dengan meluluskan projek pembangunan mewah untuk penuhkan kantung sendiri. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *