BN P.Pinang sudah sedia gempur DAP di PRU14

PULAU PINANG – Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, jika pertembungan tiga penjuru berlaku yang membabitkan PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), ia akan memberikan kelebihan kepada BN memperolehi majoriti lebih banyak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan PAS Pulau Pinang yang bercadang mahu bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada PRU-14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Dengan pengumuman PAS bercadang bertanding 20 DUN di Pulau Pinang akan menjadikan sangat meriah.

“Kerusi majoriti Melayu hanya 15 yang akan ditandingi UMNO, ini bermakna PAS atau gagasan sejahtera akan bertanding di 5 kerusi tambahan yang mempunyai mengundi melayu melebihi 35 peratus, dengan harapan parti-parti dalam sejahtera akan bantu mendapatkan undi daripada kaum-kaum lain.

“Parti-parti lain seperti PAP dan lain-lain juga akan meletakkan calon di banyak kerusi,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof dilapor berkata keputusan sama ada PAS negeri akan bertanding di 20 kerusi DUN itu atau sebaliknya, ia akan ditentukan PAS pusat.

Mengulas lanjut, Zainal berkata BN Pulau Pinang sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru itu.

“Kita pun dah berkhidmat kepada rakyat sejak dulu lagi, jentera parti yang setia dan kukuh serta perpaduan parti, janji dan perancangan masa untuk rakyat Pulau Pinang jadi agenda utama kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dibentuk sebagai satu gabungan yang sebelum ini merupakan Parti Perikatan, tetapi parti Roket itu adalah parti utama yang masih berada dalam gabungan pembangkang itu.

“BN kekal BN sejak 44 tahun, sebelum itu perikatan 17 tahun. Parti utama yan kekal dalam pembangkang sejak dahulu ialah DAP melalui gagasan rakyat, pakatan rakyat dan sekarang Pakatan Harapan.

“Lepas ni nama apa pula?,” soalnya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *