Cangkerang penyu 200 kilogram disumbat ke dalam kotak cuba diseludup

MAKASSAR: Dua lelaki China ditahan di Indonesia kerana cuba menyeludup cangkerang penyu seberat 200 kilogram keluar dari negara itu, kata polis hari ini, ketika mereka cuba membasmi perdagangan hidupan liar yang memberi pulangan lumayan.

Bertindak atas maklumat, pihak berkuasa menyerbu rumah di Makassar di Sulawesi semalam dan mendapati banyak cangkerang penyu disumbat ke dalam kotak.

Suspek, Chen Jianyi, 25 dan Zhong Qiushan, 31, mengaku membelinya di wilayah Papua dan kemudian membawanya ke Makassar dengan bot.

Penyeludup merancang memindahkan cangkerang itu ke China dan digunakan untuk menghasilkan aksesori, perhiasan dan cenderamata, menurut pihak berkuasa.

“Mereka mengaku akan menjual cangkerang itu di pasaran tempatan dan antarabangsa,” kata ketua detektif polis, Ivan Wahyudi.

Penyu, yang diancam kepupusan kerana pemburuan haram dan pemusnahan habitat, dilindungi menurut undang-undang Indonesia.

Kedua-dua lelaki itu,yang menetap di Indonesia, berhadapan hukuman lima tahun penjara jika didapati bersalah melanggar undang-undang pemuliharaan negara itu. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *