‘Cun-nya P.Pinang’ slogan retorik DAP untuk tipu rakyat

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencadangkan ‘Cun-nya Pulau Pinang’ sebagai slogan pelancongan negeri untuk 2018. Guan Eng mendakwa kononnya slogan itu bersesuaian dengan pencapaian Pulau Pinang sebagai negeri yang ‘bersih, hijau, sihat dan selamat’.

Tetapi benarkah Pulau Pinang negeri yang ‘bersih, hijau, sihat dan selamat’? Jika ditanyakan kepada sesiapa pun khususnya rakyat Pulau Pinang sudah pasti mereka boleh jawab dan mempunyai jawapan untuk soalan ini.

Mereka sudah pasti akan menjawab negeri Pulau Pinang tidak seperti dahulu lagi yang dikenali dengan pelbagai keindahan seperti pantainya sebelum kerajaan DAP mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ini kerana sejak parti Roket itu mentadbir negeri itu, sudah banyak malapetaka berlaku.

Sudah banyak kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan DAP di negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara itu. Terlalu banyak kerosakan yang dilakukan kerajaan DAP sehingga meragut nyawa rakyat negeri tersebut.

Itu pun Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Guan Eng masih mahu mendabik dada dan bongkak dengan mengatakan mereka bagus dan lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Sepatutnya slogan ‘Cun-nya Pulau Pinang’ boleh ditukar kepada ‘Jijik-nya Pulau Pinang’ di bawah kerajaan DAP. Rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang boleh melihat sendiri bila bukit-bukit di negeri itu habis diceroboh sehingga menjadi bukit ‘botak’ sejak kerajaan DAP mentadbir negeri itu.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya untuk pembangunan mewah. Tahun lalu, berlaku kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan sehingga meragut 11 nyawa. Ini berpunca daripada sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang sombong kerana enggan mendengar bantahan penduduk berhubung pembinaan projek pembangunan di lereng bukit sehingga berlakunya tanah runtuh.

Begitu juga dengan isu tambak laut yang jelas memberi kesan besar kepada alam sekitar, kehidupan marin dan juga menjejaskan sumber pendapatan golongan nelayan di negeri itu. Pantai-pantai di Pulau Pinang habis tercemar disebabkan projek tambak laut.

Projek tersebut juga dibantah ramai pihak termasuk golongan nelayan, namun kerajaan DAP negeri tidak mengendahkan rungutan rakyat. Begitu juga dengan kejadian banjir yang kerap melanda di Pulau Pinang sejak tahun lalu sehingga rakyat negeri itu menjadi trauma dan mengalami banyak kerugian.

Rakyat pun semakin sengsara dan tertekan apabila kos rumah dan pelbagai cukai dinaikkan sehingga harga yang tidak munasabah. Tak cukup dengan itu, duit rakyat disonglap melalui projek mega terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Guan Eng.

Dan juga, tanah-tanah negeri habis dijual kepada pemaju luar. Semua yang berlaku ini di bawah pentadbiran kerajaan DAP, itupun masih tidak diakui oleh parti Roket itu malah cuba menunding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan.

Kesimpulannya, lebih banyak kerosakan dan malapetaka akan terus berlaku di Pulau Pinang sekiranya DAP terus diberi kuasa mutlak perintah negeri tersebut! ‘Cun-nya Pulau Pinang’ hanyalah slogan retorik DAP untuk tipu rakyat. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *