Dewan Ulamak PAS P.Pinang mahu cetuskan semangat jihad di PRU14

PULAU PINANG – Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang mahu mencetuskan semangat jihad pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar berkata, PAS tidak perlu takut dan bimbang untuk menyebut mengenai Islam bagi menyelamatkan negara ini.

Kata beliau, meskipun ada pihak lain yang takut tewas jika menyebut mengenai Islam, namun parti Islam itu tidak perlu bimbang kerana Islam harus serta wajib dijelaskan kepada pengundi.

“Semua Nabi dan Rasul menyebut mengenai Islam dalam siri perjuangan mereka. Kita mengikut perjuangan mereka dan kita akan sebut Islam sebagai tawaran kita bagi menyelamatkan negara ini.

“Nabi Muhammad S.A.W. telah mentarbiyah Sahabat hidup dalam keadaan susah. Berperang dalam keadaan kelaparan yang amat sangat.

“Tetapi ingatlah dalam keadaan sabar menempuh kesukaran itu, Allah berikan kemenangan kepada tentera Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Nafir Jihad Siyasi’ anjuran Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Batu Kawan di Pondok Turath, Juru, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Tuan Guru Siddiq Noor yang turut memberi ucapan dalam program tersebut.

Beliau mencabar ahli-ahli parti Islam itu untuk membakar semangat peribadi bagi menghadapi PRU-14 yang bakal tidak lama lagi.

Ketika ditanya mengenai peluang orang bukan Islam untuk memberi undi kepada parti Islam itu, Siddiq berkata suatu masa nanti mereka akan memilih parti Islam itu.

Beliau juga berkata, hanya parti Islam itu terbukti memerintah tanpa ketirisan walaupun sepanjang tempoh 27 tahun mentadbir negeri Kelantan.

“Ini disebabkan masalah di Malaysia sekarang adalah tentang rasuah, penyelewengan dan ketirisan. Kalau nak cari parti yang tidak tiris dan tiada rasuah, parti mana?

“Semua pihak tiada pilihan selain PAS. Hanya PAS yang terbukti memerintah tanpa ketirisan walaupun sepanjang 27 tahun memerintah Kelantan,” katanya dalam ucapannya yang bertajuk ‘Ukhuwwah Pemangkin Kemenangan PRU 14’.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, antara syarat untuk memperolehi kemenangan adalah bekerja dalam satu saf dan memberi wala’ kepada pimpinan.

“Beberapa syarat kemenangan perlu dipenuhi oleh hizbullah antaranya menjadikan diri sebagai kekasih Allah, bekerja dalam satu saf, membudayakan jihad, tidak merasa lemah ketika berhadapan dengan musuh, serta memberi wala’ kepada pimpinan,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *