Doktor berjaya pisahkan bayi kembar siam bercantum di dada, perut

TEXAS: Sepasukan doktor di Houston, Amerika Syarikat, pada bulan lalu telah berjaya menjalankan pembedahan bagi memisahkan bayi kembar siam yang bercantum di bahagian dada dan perut.

Jurucakap Texas Children’s Hospital, Lindsey Fox berkata, Anna dan Hope Richards yang kini berusia 13 bulan, berada dalam keadaan stabil susulan pembedahan yang dijalankan di hospital itu.

Anak kepada pasangan suami isteri Jill dan Michael Richards itu selamat menjalani pembedahan tersebut pada 13 Januari lalu.

Menurut laporan Daily Mail Online, pengumuman mengenainya hanya dibuat pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, pihak hospital enggan memberi maklumat lebih lanjut berhubung kes itu kerana ibu bapa bayi kembar itu kini sedang menumpukan kepada fasa pemulihan bayi mereka.

Situasi mereka yang bercantum itu telah disahkan sewaktu kedua-duanya masih berada dalam kandungan.

Anna dan Hope dilahirkan pada 29 Disember 2016, pada usia 35 minggu dalam kandungan, di Texas Children’s Pavillion for Women.

Sumber – astroawani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *