Golongan Mahasiswa antara 3.6 juta orang muda yang belum daftar mengundi

Sudah menjadi salah satu tanggungjawab sebagai rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi bagi rakyat Malaysia jika sudah berusia 21 tahun ke atas dan layak untuk mengundi.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan mendatang, dilaporkan seramai 3.6 juta orang mudah berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa masih belum menjalankan tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih.

Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan jumlah terbabit menunjukkan hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar iaitu seramai 14,806,185 orang.

“Sehingga kini lebih 14 juta pengundi sudah berdaftar berdasarkan data yang masih diguna pakai sehingga suku tahun ketiga 2017 berikutan data suku tahun keempat bagi 2017 yang belum diwartakan lagi.

“Pewartaan akan mengikut tempoh suku tahun iaitu suku pertama (Januari hingga Mac), suku tahun kedua (April hingga Jun), suku tahun ketiga (Julai hingga September) dan terakhir pada suku tahun keempat (Oktober hingga Disember).

“Jaid, seramai 14,806,185 pemilih layak mengundi sekiranya PRU-14 diadakan pada Mac, April atau Mei,” katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang sudah layak untuk mengundi tetapi masih belum berdaftar masih boleh mendaftar kerana ia dibuka sepanjang tahun.

“Mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih masih boleh berbuat demikian berikutan ia dibuka sepanjang tahun.

“Tiada halangan bagi mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih untuk berbuat demikian selagi Daftar Pemilih belum diwartakan,” katanya.

Sumber menjelaskan, untuk mendaftar sebaai pemilih ia masih tidak ada tarikh akhir yang ditetapkan. Tetapi, proses keseluruhan pengesahan Daftar Pemilih akan mengambil masa selama empat hingga lima bulan mulai bulan pertama setiap suku tahun.

“Apabila sesuatu Daftar Pemilih itu diperakui dan diwartakan, ia menjadi muktamad dan tidak boleh lagi dipersoal atau dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Pakar sosiologi yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Marof Redzuan menyifatkan rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab mendaftar mengundi tidak menggunakan hak mereka sebagai rakyat.

“Ia salah satu hak rakyat dalam negara demokrasi kerana negara demokrasi bermakna negara yang pemerintahnya dipilih rakyat. Rakyat yang menentukan pemerintahan dan semuanya adalah berbalik kepada rakyat.

“Ia hak yang juga merupakan tanggungjawab. Jika tidak menjalankannya, apa lagi tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya.

Apapun, sebagai rakyat janganlah mendaftar pemilih pada saat-saat akhir kerana dibimbangi tidak sempat mengundi. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan mendaftar mengundi jika sudah layak untuk mengundi. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *