Guan Eng harus bertaubat dari menyebar fitnah terhadap SPRM

Sepatutnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan DAP memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan kes berhubung projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion dapat disiasat tanpa sebarang gangguan, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng yang menuduh pihak pencegahan rasuah negara itu kononnya sengaja ‘memerangkap’ Kerajaan DAP Pulau Pinang ekoran dua orang anggota Exco Kerajaan Negeri dipanggil untuk siasatan kes berhubung projek mega yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu.

Jais berkata, sekiranya DAP berpegang dengan slogan yang bangga dilaung-laungkan mereka iaitu Cekap, Amanah dan Telus, parti Roket itu sepatutnya memberi sokongan penuh kepada agensi rasuah itu yang akan dapat membersihkan imej mereka sekiranya terbukti tidak bersalah.

Katanyanya, bukannya bertindak sebaliknya dengan mempersoalkan kredibiliti SPRM dalam menjalankan tugas menyiasat dan mencegah rasuah.

“MCW mewakili suara rakyat Malaysia mendesak agar parti ini akur dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membolehkan kes yang disyaki rasuah itu dapat disiasat mengikut prosedur tanpa gangguan.

“MCW menyokong tindakan tegas SPRM untuk menyelesaikan siasatan kes ini dengan segera. Semua pihak yang dipanggil untuk siasatan mestilah akur dan memberikan kerjasama dengan baik.

“Kami mengecam sebarang langkah mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat atau mempersoalkan kredibiliti SPRM untuk menjalankan tugasan siasatan dan pencegahan rasuah dengan lebih agresif dalam usaha mencapai matlamat “Malaysia sifar rasuah”,” katanya dalam satu kenyataan

Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu mendakwa pihak pencegahan rasuah negara itu berat sebelah dan cuba ‘memerangkap’ Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Sekali lagi saya nak soal, apa SPRM buat? Kenapa SPRM cuba memerangkap kerajaan negeri? Kalau mereka nak siasat, buatlah secara bebas.

“Pegawai-pegawai kami akan beri kerja sama sepenuhnya. Tapi, kalau mereka nak perangkap kami, kami akan lawan, bawa ke mahkamah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu sepatutnya berhenti dari menyebarkan fitnah dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap SPRM bagi menutup kelemahan pentadbirannya. Tidak perlu beliau menuduh SPRM cuba memerangkap Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana pihak pencegahan rasuah negara itu bertindak secara profesional dan mempunyai alasan kukuh dalam sebarang tindakan yang dilakukan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *