Guan Eng mengamuk bila 2 exco DAP negeri disiasat oleh SPRM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berada dalam tertekan apabila terus diasak berhubung isu projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang telah mencetuskan pelbagai kontroversi.

Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengamuk apabila dua exco DAP Pulau Pinang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek mega DAP tersebut.

SPRM ketika ini sedang menyiasat isu projek mega yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu selepas menerima laporan kemungkinan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam projek mega DAP berkenaan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu mendakwa pihak pencegahan rasuah negara itu berat sebelah dan cuba ‘memerangkap’ Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Malah, kata Ahli Parlimen Bagan itu, sekiranya didapati pihak pencegahan rasuah negara itu mahu ‘memerangkap’ Kerajaan DAP Pulau Pinang, kerajaan negeri akan bertindak menentang usaha SPRM itu menerusi mahkamah.

“Sekali lagi saya nak soal, apa SPRM buat? Kenapa SPRM cuba memerangkap kerajaan negeri? Kalau mereka nak siasat, buatlah secara bebas.

“Pegawai-pegawai kami akan beri kerja sama sepenuhnya. Tapi, kalau mereka nak perangkap kami, kami akan lawan, bawa ke mahkamah,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai siasatan SPRM yang menyoal exco kerja raya Pulau Pinang Lim Hock Seng, semalam.

Hari ini, giliran Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy akan disoal oleh pihak pencegahan rasuah negara itu.

Sejak awal bulan lalu, SPRM telah menyiasat projek mega DAP berkenaan hingga ia menjadi paparan utama media sejak bulan lalu. SPRM juga turut membuat serbuan di beberapa jabatan kerajaan negeri, syarikat bertujuan khas (SPV) yang mengendalikan projek itu, selain beberapa syarikat swasta yang berurusan dengan SPV.

Malah, bagi membantu siasatan, SPRM turut mereman pegawai tinggi SPV, seorang pengarah firma pembangunan dan juga beberapa orang perunding, yang kemudiannya dibebaskan. Agensi itu juga telah memanggil hampir 100 saksi.

Projek mega DAP berkenaan bernilai RM6.3 bilion telah mencetuskan banyak kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri.

Malah, pelaksanaan projek yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu juga turut dibantah rakyat Pulau Pinang yang bimbang dengan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Selain itu, siasatan pihak pencegahan rasuah negara juga mendapati, beberapa ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit dalam kajian projek mega yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth dengan ia dijangka dibina pada 2023. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *