Guan Eng tak puas hati dan pertikai proses siasatan SPRM

PULAU PINANG – Semalam, Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Namun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus tidak berpuas hati dan mempertikaikan proses siasatan pihak pencegahan rasuah negara itu apabila Ramasamy dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes projek mega DAP berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Ramasamy yang merangkap sebagai Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri tidak mempunyai kaitan dengan projek mega DAP yang telah mencetuskan pelbagai kontroversi itu.

“Kita faham jika Exco Lim Hock Seng dipanggil SPRM semalam kerana projek itu ada kaitan dengan portfolionya, tetapi apa kaitannya Ramasamy dengan projek ini?” kata Guan Eng.

Ramasamy merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang kedua dipanggil agensi rasuah itu, selepas exco kerja raya, utiliti dan pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng.

Malah, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau tidak akan terkejut jika beberapa Exco lain turut akan dipanggil agensi rasuah terbabit selepas ini walaupun tidak ada kaitan dengan projek mega DAP tersebut.

Guan Eng juga berkata, walaupun belum menerima apa-apa arahan sehingga kini, tetapi beliau sudah bersedia untuk dipanggil oleh pihak pencegahan rasuah negara itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu kini sedang disiasat SPRM ekoran wujud laporan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

Projek mega DAP berkenaan semakin hangat diperkatakan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu dan memanggil hampir 100 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak bulan lalu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *