Hapus GST: Mahathir perlu beri penjelasan terperinci kepada rakyat

Pakatan Harapan yang dikuasai DAP selama ini sering mengkritik pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mendakwa ia membebankan rakyat. Itu sebab gabungan pembangkang itu menabur janji manis untuk menghapuskan sistem percukaian yang telah terbukti membantu meningkatkan ekonomi Malaysia dan membantu golongan yang memerlukan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya menjelaskan secara terperinci kepada rakyat Malaysia bagaimana beliau mahu menambah perbelanjaan kerajaan namun dalam masa sama mahu mengurangkan pendapatan akibat hasrat pembangkang yang mahu ‘melenyapkan’ GST.

Dalam keadaan pendapatan kerajaan akan berkurangan, calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan itu juga mahu mewujudkan kembali subsidi yang telah ditarik balik oleh kerajaan ketika ini, kata Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, menerusii sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini, sebanyak RM14 bilion telah dikutip oleh kerajaan pada 2014 berbanding RM41 bilion dan RM44 bilion melalui GST pada 2016 dan tahun lalu.

Lokman juga berkata, hanya yang tidak berfikir secara rasional sahaja akan menerima penipuan pembangkang seperti ini.

“Terdapat kekurangan pendapatan antara RM27 dan RM30 bilion jika GST digantikan kepada SST semula. Keadaan menjadi lebih buruk apabila harga minyak dunia jatuh yang menyaksikan hasil negara daripada petroleum hanya sebanyak RM30. 1 bilion pada 2016 berbanding RM66 bilion pada 2014.

“Jadi bagaimana dia kata mahu berbelanja lebih jika pada masa sama pendapatan berkurangan? Hanya yang tidak berfikir secara rasional akan menerima penipuan seperti ini,” katanya.

Tambah beliau, GST yang diperkenalkan pada tahun 2016 itu telah terbukti menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam kancah ketidaktentuan ekonomi yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia secara mendadak.

“Hasil sumber pendapatan utama negara iaitu petroleum yang telah merosot kira-kira RM35.9 bilion setahun hanya dalam tempoh dua tahun (2014-2016) telah dapat ditampung sebahagian besarnya melalui GST dan rasiona­lisasi subsidi.

“Sebenarnya inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menyatakan bahawa GST telah menyelamatkan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, GST juga membolehkan kerajaan menangani peniaga tidak bertanggungjawab dan amanah yang berselindung di sebalik kelemahan SST kerana tamak untuk meraih keuntungan besar dengan melarikan diri daripada membayar cukai. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *