Hospital Swasta di P.Pinang pinggirkan tenaga kerja warga tempatan

Hospital swasta di Pulau Pinang kini dilihat menjadi ‘sarang’ warga asing sekali gus ini menunjukkan hospital swasta di negeri di bawah pentadbiran Kerajaan DAP meminggirkan tenaga kerja warga tempatan. Tetapi di mana silapnya dan punca ini berlaku?

Difahamkan, kontraktor utama yang diberikan kontrak untuk kerja-kerja pembersihan dan pencucian telah bertindak tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan dengan memberikan pula kepada lain-lain sub kontraktor.

Perkara itu terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang melakukan serbuan di sebuah hospital yang terletak di George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menarik perhatian dan mengejutkan apabila ianya merupakan sebuah hospital ternama. Difahamkan, seramai 32 orang warga asing yang disyaki bekerja sebagai tukang cuci di hospital tersebut ditangkap di tempat kejadian.

Berdasarkan laporan daripada laman sosial Facebook rasmi jabatan tersebut, kesemua warga asing yang ditangkap gagal menyerahkan dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika serbuan dibuat oleh pihak berkenaan.

Selain hospital tersebut, beberapa lagi lokasi telah diserbu oleh pihak Imigresen. Antaranya lapan buah rumah Pangsapuri Mutiara yang terletak di Batu Feringhi, sebuah Pejabat yang terletak di Jalan Belissa dan juga sebuah Restoran Nasi Kandar yang terletak di Jalan Teluk Bahang.

Difahamkan, 42 orang daripada 54 orang warga asing yang diperiksa di semua lokasi telah bejaya ditangkap kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-peraturan Imigresen.

Kesemua pendatang asing tanpa izin yang diberkas telah dibawa untuk ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut.

Apa-apa pun, sepatutnya tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara bukannya hanya terletak pada satu pihak sahaja. Untuk memerangi pendatang asing tanpa izin juga perlu membabitkan semua pihak dan juga seluruh lapisan masyarakat. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *