Jangan ambil mudah jika demam, selsema dan batuk berpanjangan

Penyakit yang biasa berlaku seperti demam, batuk, dan selesema sering dipandang ringan oleh orang ramai. Namun begitu, gejala ini sebenarnya boleh meragut nyawa seseorang jika gejala demam, batuk dan selesama dialami secara berterusan.

Simptom demam, batuk dan selsema secara berpanjangan ini sebenarnya adalah tanda awal badan dijangkiti virus influenza. Jika seseorang tidak mendapatkan rawatan segera sehingga mengalami komplikasi serius ia boleh membawa maut.

Virus mudah merebak hanya dengan sentuhan ataupun rembesan cecair dari hidung. Oleh itu, orang ramai diminta tidak mengambil mudah jika mengalami simptom-simptom ini dengan mendapatkan rawatan segera.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, memaklumkan influenza boleh menyebabkan jangkitan kepada salur pernafasan termasuk hidung, tekak dan paru-paru.

Beliau berkata, laporan kesihatan antarabangsa telah mencatatkan kes 70,504 daripada 108 negara akibat jangkitan virus influenza.

“Setiap tahun kadar kematian meningkat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya bermula 25 Disember hingga 7 Januari lalu, mencatatkan 70,504 kes positif dari 108 negara. Sepanjang musim sejuk bermula Disember lalu pula, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 37 kematian.

“Sepanjang tempoh itu sahaja dilaporkan 12 000 pesakit yang disyaki menjalani rawatan di hospital seluruh AS.

“Statistik ini menimbulkan kebimbangan hingga mewujudkan suasana panik dalam kalangan pengamal perubatan di sana,” katanya.

Katanya, virus ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu Influenza A, Influenza B dan Influenza C. Influenza yang boleh menyebabkan jangkitan demam selesema yang teruk adalah influenza A.

Terdahulu, disebabkan influenza A berlakunya Influenza H1N1, tetapi keadaan itu telah berjaya dikawal. Namun begitu, masyarakat dan pihak berkuasa masih perlu berhati-hati.

Jangkitan Influenza A ini mudah dialami terutamanya kepada kanak-kanak bawah lima tahun, ibu mengandung dan warga emas.

Selain itu, jangkitan influenza ini juga boleh memberi kesan bahaya kepada pesakit jantung, asma, diabetes dan kanser. Perkara ini kerana sistem imun badan mereka lemah.

Walaubagaimanapun, cara terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah dengan imunisasi. Golongan yang digalakkan untuk diberi suntikan influenza adalah warga tua, kanak-kanak, pesakit asma, pesakit jantung, penghidap kanser dan bayi pramatang diberikan suntikan influenza.-utaranews

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *